Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyambut Duta Jepun ke Malaysia, H.E Makio Miyagawa yang membuat kunjungan rasmi ke pejabat Menteri Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 28 MAC 2017

PUTRAJAYA – Tiada tindakan akan diambil kepada guru-guru yang aktif berpolitik selagi mereka tidak menaiki pentas pembangkang dan mengutuk kerajaan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kementerian, katanya, tidak menghalang mana-mana guru untuk aktif berpolitik namun tidak akan berkompromi terhadap mereka menggunakan platform pembangkang untuk menghentam kerajaan.

“Guru-guru lain tidak ada masalah. Mereka boleh aktif berpolitik tapi bila sudah sampai naik pentas pegang mikrofon dan kutuk kerajaan secara keras dan melampau. Malah buat kaji selidik tidak boleh begitu..jangan tunjuk diri atas pentas pembangkang. Itu sahaja.

“Kalau mereka kritik kerajaan untuk kebaikan tidak ada masalah. Cerita pasal kerusi di sekolah tidak mencukupi takkan nak marah guru berkenaan,” katanya ketika ditemui media seleas menerima kunjungan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Pertemuan dibuat bagi membincangkan mengenai langkah dan pelaksanaan kementerian dalam meningkatkan pembelajaran bahawa Jepun dikalangan guru-guru di negara ini.

Dalam pada itu, Mahdzir menasihatkan agar guru-guru di negara ini tidak terlalu ekstrem menjadi ahli pembangkang kerana mereka memegang tanggungjawab sebagai pendidik yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya katakan kepada mereka (guru-guru) yang terlalu ekstrem jadi ahli pembangkang naik atas pentas pembangkang sedangkan mereka adalah penjawat awam.

“Jadi, jika ada beberapa orang yang masih aktif dengan pembangkang kita akan panggil nanti ke kementerian untuk buat penjelasan kenapa bertindak demikian,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengeluarkan lima surat tunjuk kepada lima guru kerana didakwa menggunakan pentas pembangkang untuk menghentam kerajaan.

Pihaknya telah menghantar surat berkenaan dan tempoh dua minggu diberikan kepada mereka untuk menjawab surat berkenaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, maka mereka boleh dilucutkan jawatan kerana melanggar peraturan dalam perkhidmatan awam.

“Kita akan panggil kalau tidak balas surat berkenaan dalam tempoh dua minggu. Ada kes lain seperti itu juga, kita tengok pelbagai kes.

“Ia (hukuman) bergantung kepada bentuk kerjasama yang diberikan. Kita tidak akan tolong sekiranya tiada kerjasama daripada guru-guru ini,” katanya lagi.

Kelima-lima guru berkenaan masih di peringkat surat tunjuk sebab dan guru terbabit akan diberikan nasihat sebelum surat amaran diberikan.

Sekiranya perkara ini berulang, mereka boleh dibawa ke lembaga tatatertib untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette.