Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya berlaku krisis atau kemelut dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, apa yang berlaku hanya perubahan arah kerajaan negeri untuk memberi sokongan penuh kepada pasukan PKNS berbanding FAS.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mensyaratkan agar semua pasukan bola sepak negeri diswastakan dan diurus secara mandiri.

“Sebenarnya tidak ada yang tersurat atau tersirat. Secara jelasnya sebagaimana dimaklumkan dalam kenyataan dan pendirian kerajaan negeri serta sesuai dengan keputusan FAM yang mensyaratkan semua pasukan bola sepak diswastakan dan diuruskan sendiri.

“Maknanya, pengurusan daripada presidennya ataupun ketuanya haruslah mempunyai keputusan dan pengurusan yang bebas, selain mengelakkan penggantungan terhadap mana-mana jabatan terutama agensi kerajaan atau individu tertenti.

“Sebab itu, langkah pertama yang telah diambil oleh Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) selaku Presiden FAS ketika itu ialah untuk menyegerakan proses penswastaan pasukan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, dalam proses itu termasuk usaha mengenal pasti beberapa perkara berkaitan dan usul daripada pihak presiden, tiba-tiba FAS menolaknya dan bertindak keluar dari mesyuarat tanpa berbincang secara serius dengan kerajaan negeri.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan negeri menganggap tindakan itu sangat kurang ajar dan biadab dan mengambil sikap untuk memutuskan hubungan serta berpendirian menyokong PKNS sebagai wakil kerajaan negeri.

“Setelah kita meneliti beberapa peraturan, PKNS hanya memerlukan beberapa langkah saja lagi terutama dari segi dokumentasi untuk melengkapkan proses penswastaan, tetapi untuk melengkapkan proses penswastaan itu antara halangan paling besar ialah kedudukan Menteri Besar yang mana beliau juga adalah Pengerusi PKNS.

“Atas kapasiti selaku Menteri Besar dan juga Pengerusi PKNS, maka kerajaan negeri mengamil keputusan untuk Menteri Besar melepaskan jawatan Presiden FAS dan biarkan FAS mencari jalan sendiri untuk proses penswastaan serta pelaksanaannya pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette