Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima cenderahati dari Pengarah theRakyat.com, Shamsulbahrin Ludin (kanan) selepas majlis Pelancaran eRakyat di perkarangan Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, parti itu perlu mengubah cara menyampaikan maklumat kepada rakyat seiring dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini.

Ujarnya, penyampaian maklumat secara fizikal tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, maka dengan itu BN juga perlu berubah untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Maka kita kena lakukan platform seperti buletin e-Rakyat ini di mana penyampaiannya boleh dilakukan di sosial media ataupun dalam talian.

“Ini kerana penyampaian dalam bentuk akhbar dan buletin secara fizikal tidak lagi mendapat tempat di sisi rakyat. Malah banyak juga maklumat atau berita fizikal akan menjadi satu pembaziran semata-mata,” katanya ketika merasmikan buletin e-Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Kabinet dan pemimpin utama parti komponen BN.

Dalam pada itu, Najib berkata, kebolehcapaian maklumat menerusi semua platform media sosial dan mudah dibaca di mana sahaja membolehkan rakyat mendapatkan maklumat yang benar dan tepat mengenai kerajaan.

“Dengan adanya buletin e-Rakyat ini, ia boleh dijadikan medium penghubung yang ampuh antara pemimpin BN dengan rakyat.

Tambah Najib, kemunculan e-Rakyat berupaya mengeratkan hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat, sekali gus dapat mendengar denyut nadi rakyat dan mengetahui keperluan serta kehendak mereka.

“Saya yakin dan percaya melalui e-Rakyat, kita mampu menjawab serta menyebarkan perkara-perkara penting yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam bentuk yang mudah, pantas lagi efisyen, kata Najib. – MalaysiaGazette