Sulaiman Abdul Razak

SHAH ALAM – Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

Itulah ungkapan yang sesuai untuk dipadankan kepada seorang seorang wakil rakyat DAP ketika membahaskan usul ucapan terima kasih serta menjunjung kasih titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Lau Weng San (Kampung Tunku-DAP) yang cuba menjadi hero apabila memperkatakan mengenai rasuah yang berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO, akhirnya terduduk apabila diajukan pertanyaan oleh Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang-BN) mengenai kes yang dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam perbahasannya, wakil rakyat Kampung Tunku itu menyebut perbuatan rasuah yang dilakukan seorang bekas anggota Exco Kerajaan Johor berjumlah berjuta ringgit dan barangan berjenama yang dimilikinya.

Bagaimanapun, rakan sejawatannya, Teng Chang Khim (Sungai Pinang-DAP) bangun membaca peraturan mesyuarat bahawa kes yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh disentuh dalam mana-mana perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, Weng San masih berdegil dan meneruskan juga ucapan perbahasannya yang berkaitan dengan bekas Exco Johor itu, sehingga Sulaiman bangun mencelah, bertanyakan kenapa Guan Eng tidak meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri walaupun kesnya sudah disebut di mahkamah.

Weng San cuba berdalih dengan mengatakan, beliau ketika ini sedang membahas ucapan terima kasih serta menjunjung kasih titah Sultan Selangor dan tidak boleh mengaitkan kes Guan Eng yang berlaku di Pulau Pinang.

Mendengar jawapan itu, Sulaiman bertanyakan sekali lagi kepada Weng San, apakah beliau sedar kes bekas Exco Johor yang disebutkan itu juga berlaku di luar Selangor.

“Saya mahu Kampung Tunku jawab kes rasuah Guan Eng, bukan memberi alasan ia di luar Selangor, sedangkan kes rasuah seorang bekas Exco Johor itu juga berlaku di luar Selangor.

“Jangan cakap tak serupa bikin. Kalau pemimpin dalam parti sendiri pun lakukan rasuah, tidak perlu nak cakap kamu sedih dengan gejala rasuah (dalam UMNO),” ujar Sulaiman.

Bagaimanapun, tercabar dengan sindiran Sulaiman, ADUN Kampung Tunku itu mencabar agar ADUN Permatang juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

“Kenapa pula dengan Perdana Menteri?” tanya Sulaiman.

“Sebab wang sejumlah RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya,” balas Weng San.

“Tapi itu sangkaan jahat. Ia hanya sekadar tuduhan. Tidak ada pendakwaan ke atasnya,” jawab Sulaiman, yang kemudian cuba ditenangkan oleh Timbalan Speaker, Mohd Shafie Ngah.

Weng San yang masih tidak berpuas hati atas desakan Sulaiman serta beberapa wakil rakyat BN yang menyebut mengenai kes rasuah Guan Eng, cuba mempertahankan perbahasannya sehingga tidak dapat menjawab pertanyaan yang dilontarkan kepadanya.

Mohd Shafie kemudian mencelah dengan mengingatkan Weng San agar menghabiskan perbahasannya sebelum jam 1 tengah hari dan tidak akan diberi peluang untuk menyambung ucapannya pada sesi jam 2.30 petang nanti. – MalaysiaGazette