Seorang petugas media tempatan membaca artikel mengenai kes kematian Kim Jong-Nam melalui telefon pintarnya ketika bertugas sehingga lewat malam berkaitan kes kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang mati dibunuh di klia2, Sepang 13 Februari lalu dihadapan Institut Perubatan Forensik Negara, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Malaysia pada mulanya tersilap semasa mengenal pasti identiti mayat Kim Jong-nam sebagai warga negara Korea Selatan dan memaklumkan perkara berkenaan kepada kedutaan sejurus selepas kematian abang tiri pemimpin Korea Utara terbabit.

Menurut sumber kepada Reuters, kesilapan polis itu rupa-rupanya ada hikmahnya tersendiri.

Ia akhirnya membolehkan Seoul segera memaklumkan kepada Kuala Lumpur bahawa lelaki berkenaan berkemungkinan Kim Jong-nam.

Selepas memeriksa pasport mangsa, pihak berkuasa Malaysia terkeliru dengan nama Republik Rakyat Korea yang merupakan nama rasmi Korea Utara dengan Republik Korea yang merupakan nama rasmi Korea Selatan.

Pihak berkuasa Malaysia telah menghubungi Kedutaan Korea Selatan bersama dengan beberapa salinan dokumen yang ditemui pada mayat Jong-nam.

Apabila segala-galanya telah jelas, misi diplomatik Korea Utara di Kuala Lumpur telah dimaklumkan pada hari yang sama pembunuhan berlaku, katanya.

Polis Malaysia bagaimanapun enggan menjawab dan memberi komen mengenai perkara ini.

Kekeliruan mengenai kewarganegaraan Jong-nam itu juga menjelaskan mengapa media  Korea Selatan yang menjadi sumber pertama menyebarkan berita berkenaan.

Dalam tempoh 24 jam kematian Jong-nam, Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan telah memberi taklimat kepada ahli-ahli parlimen di Seoul yang mengatakan Jong- nam mungkin telah mati dan berita tersebut kemudiannya bocor ke pengetahuan pihak media.

Beberapa jam selepas berita itu tersebar di Korea Selatan, polis Malaysia mengesahkan seorang lelaki Korea Utara telah mati di lapangan terbang tanpa mendedahkan identiti mangsa.

Sumber risikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat berkata, Korea Utara merupakan perancang kepada pembunuhan tersebut, Pyongyang bagaimanapun menafikannya.

Korea Selatan bagaimanapun tidak mengaku mayat berkenaan adalah Kim Jong-nam sebaliknya Pyongyang terus-menerus merujuk beliau sebagai Kim Chol berdasarkan nama pada pasport diplomatik yang dipegang mangsa semasa kematiannya.

Pegawai perisik Korea Selatan berkata, Kim Jong-Un telah mengeluarkan arahan untuk menghapuskan abang tirinya itu sebelum ini.

Pembunuhan Jong-nam sengaja dilakukan di kawasan terbuka, menurut penganalisis Korea Selatan.

Pembunuh upahan tersebut sengaja memilih sebuah lapangan terbang yang dilengkapi CCTV dan menggunakan senjata yang direka sebagai pemusnah besar-besaran yang hanya dimiliki oleh beberapa negara termasuk Korea Utara.

“Kesannya memang telah dirancang. Mereka mahu terlepas daripada hukuman,” kata bekas ketua perunding Amerika Syarikat dengan Korea Utara, Robert L. Galluci.

Sifat kurang ajar pembunuhan itu juga dirancang supaya pengumpulan bukti dilakukan dengan mudah.

Selepas kekecohan pada hari pertama, siasatan telah diambil alih oleh pasukan Cawangan Khas Malaysia, yang menggabungkan peranan unit polis elit dan agensi perisikan dalam negeri.

Dua wanita yang menyapukan agen VX ke atas Jong-nam merupakan seorang warga Vietnam yang bekerja di pusat hiburan manakala seorang lagi adalah pekerja rumah urut warga Indonesia.

Hari ini, krisis diplomatik dengan Korea Utara dengan Malaysia telah selesai dan kedua-dua negara bersetuju menghantar pulang warganegara masing-masing seperti dimaklumkan Wisma Putra.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengumumkan kesemua sembilan rakyat Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanahair dengan selamat.- MalaysiaGazette