Husam Musa

KOTA BHARU – Datuk Husam Musa menyifatkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang tidak dibentangkan oleh wakil kerajaan di Dewan Rakyat merupakan jalan mati kepada perjuangan Pas.

Penasihat Parti Amanah Negara Kelantan itu berkata, Pas kini menjadi mangsa politik UMNO.

“Mereka (Pas) kini macam naik sampan atas darat atau bawa basikal dalam air, matlamat mereka tidak tercapai,” ujarnya di sini selepas majlis menaikkan bendera PAN di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu berkata demikian mengulas ketetapan Barisan Nasional (BN) yang memutuskan tidak ada wakil kerajaan mengambilalih tugas Pas membentangkan RUU355.

Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas itu memberitahu, apa yang berlaku merupakan kejayaan BN mengkucarkacirkan Pas dan parti pembangkang.

Justeru, beliau menggesa pimpinan Pas yang menyedari kesilapan parti itu bertindak tegas menerusi Muktamar Pas di Alor Setar tidak lama lagi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan jawatan serta merta atau end bloc.

“Mereka (ahli Pas) perlu menolak kepimpinan presiden mereka dan beberapa penasihatnya dan kembali bersama-sama pakatan pembangkang,” ujarnya.-MalaysiaGazette