Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa lega selepas kes saman berhubung pampasan berjumlah RM2.7 juta yang diberikan kepada pegawainya selesai.

Khalid berkata keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membuktikan pentadbirannya sebelum ini mengikut proses yang telus dalam memberikan pampasan tersebut oleh Menteri Besar Diperbadankan Selangor (MBI).

“Sejujurnya saya tidak terkejut dengan keputusan mahkamah ini kerana amat yakin saya telah menggunakan proses yang telus dan beretika di dalam transaksi tersebut selaras dengan peruntukan di dalam Enakmen MBI.

“Saya amat bersyukur keputusan yang dibuat pada hari ini kerana ianya secara langsung telah membersihkan nama saya daripada tuduhan salah laku ketika bertugas sebagai Menteri Besar,” kata beliau dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya.

Khalid kemudian membidas langkah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang membuat tuntutan itu di mahkamah bagi mendapatkan semula pampasan itu sebagai berniat jahat dan semberomo.

“Adalah amat jelas bahawa tuntutan pemulangan wang pampasan yang saya berikan kepada pegawai saya sebelum saya meninggalkan pejabat Menteri Besar, yang diambil oleh YAB Dato’ Menteri Besar (Azmin); hari ini telah dilakukan secara semberono, bermotifkan politik serta berniat jahat dengan satu tujuan; mencalar imej saya serta pasukan saya yang terbukti komited dengan pentadbiran amanah dan telus,” katanya lagi.

Khalid memberikan pampasan kepada lapan bekas pegawai MBI – Ketua Pegawai Eksekutif Faekah Hussin; Rohani Talib; Arfa’eza Abdul Aziz; Mustapha Mohd Talib; Rahimah Kamarudin; Sulaiman Masri; Abdul Halim Mohamed Yusof; dan Tuan Nazuri Tuan Ismail – apabila beliau meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor selepas krisis yang berpanjang pada tahun 2014.

Pada 16 Januari 2015 Azmin mengarahkan mereka memulangkan wang pampasan antara RM114,870 dan RM699,000 setiap seorang yang didakwa melanggar peraturan kewangan kerajaan negeri atau berdepan prosiding undang-undang daripada BMI.

Mengulas lanjut, Khalid mendakwa Azmin cuba menutup ketirisan dalam pentadbirannya dengan cuba memperbesarkan isu berhubung tuntutan pampasan tersebut.

“Saya juga tidak menolak keghairahan Menteri Besar meneruskan tindakan saman tersebut adalah sebagai usaha untuk menutup kepincangan dan ketirisan yang berlaku di dalam pentadbiran beliau.

“Saya menerima cubaan mencalar imej melalui persepsi ini dengan sabar dengan bersandarkan kepercayaan bahawa akhirnya rakyat akan tahu kebenaran sebenar.

“Pada masa yang sama saya redha di atas apa yang telah berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette