Pemangku Ketua Pasaran Modal Bank Islam, Mohd Izhar Pawanchek (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif CMC, Hazwan Alif Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) yang dilantik sebagai bank penaja, berhasrat memperoleh pelaburan sebanyak RM12 juta bagi  membiayai sebahagian daripada projek integrasi telekomunikasi CMC Group Sdn. Bhd. (CMC) bernilai RM23 juta untuk Ho Chi Minh City Urban Railway System (Line 1), Vietnam (Projek Metro Line).

Dalam kenyataannya, Bank Islam berkata, tempoh kempen untuk transaksi fasiliti Akaun Pelaburan Terhad (RIA) akan diadakan selama empat minggu dari pertengahan April 2017 dan sasaran untuk memuktamadkan transaksi pada pertengahan Mei 2017

Menurut Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani, penglibatan dalam Projek Metro Line Vietnam itu adalah satu cara untuk bank itu menyumbang kepada pertumbuhan progresif persekitaran bandar yang moden di samping menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar di bandar berkenaan.

“Platform Akaun Pelaburan (IAP) adalah satu platform yang sangat bermanfaat bagi perniagaan-perniagaan untuk merealisasikan projek dan usaha niaga mereka.

“Bank Islam secara aktif mencari syarikat-syarikat baharu dengan projek-projek yang berpotensi bagi mengoptimumkan peranan pengantaraan kami dalam menguruskan dana bagi kepentingan kedua-dua pihak, para pelabur dan syarikat-syarikat yang dibiayai,” katanya.

Projek Metro Line merupakan transaksi RIA kedua daripada Bank Islam melalui IAP sejak pelancarannya pada 2016.

Dijamin oleh rekod prestasi sebelumnya, CMC telah diberi kepercayaan oleh Hitachi Kokusai Electric Inc (Hitachi Kokusai), kontraktor telekomunikasi utama projek tersebut mengambil kontrak integrasi telekomunikasi.

Bakal pelabur boleh menjadikan projek ini sebagai pelaburan yang berpotensi kerana ia telah dianugerahkan penarafan kredit a3 oleh RAM Solutions berdasarkan rekod CMC yang kukuh dan profil kewangan yang sihat, struktur pembiayaan transaksi yang meminimumkan kebocoran aliran tunai manakala kontraktor utama, Hitachi Kokusai, sebagai sebuah syarikat global yang bereputasi tinggi dengan profil kredit yang kukuh.

Transaksi RIA untuk CMC merupakan pelaburan jangka pendek iaitu dalam tempoh 18 bulan, sekiranya bakal pelabur melabur di dalamnya.

Pulangan yang dijangka diraih bakal pelabur adalah 6.3 peratus setahun dengan pelaburan minimum sebanyak RM5,000.

Menurut zamani, sebagai bank penaja bagi transaksi ini, Bank Islam akan mengunderait bahagian RIA yang tidak dilanggan sekiranya tidak dilabur sepenuhnya oleh para pelabur melalui IAP.

RIA adalah kelas aset baharu yang menyediakan pulangan yang lebih baik kepada pelabur berbanding dengan deposit normal.

Ia menyediakan saluran baru bagi pelabur terutamanya individu bernilai bersih tinggi atau pelabur “angel” untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka.- MalaysiaGazette