Dr. Ahmad Yunus Hairi
Dr. Ahmad Yunus Hairi

SHAH ALAM – Wakil Rakyat dari Pakatan Harapan (PH) Selangor mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri mencari kaedah terbaik dalam menyelenggara jalan kampung sehingga penempatan menunggu lama kerja menambah baik jalan ke kawasan mereka.

Perkara ini dibangkitkan Dr. Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) yang bertanyakan kenapa berlaku perbezaan pendapatan antara pegawai di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan arahan kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh, ada beberapa kampung tidak menerima peruntukan untuk penyelenggaran jalan kerana syarat ditetapkan kerajaan ialah perlu mendapatkan seratus peratus persetujuan penduduk.

“Mustahil semua penduduk bersetuju jalan di kampung mereka diselenggara kerana ada antara mereka berada di luar, meninggal dunia dan sebagainya. Sedangkan, kerajaan negeri perlukan sokongan golongan ini.

“Apabila ada dua tiga orang meninggal, maka syarat untuk penyelenggaraan jalan tidak dapat dilaksanakan kerana kononnya tidak mendapat persetujuan seratus peratus daripada penduduk,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Jayakumar membangkitkan perkara itu kerana tidak puas hati dengan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Dalam jawapan pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan terima kasih Sultan Selangor, Dr. Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri sebaik mungkin cuba untuk meringankan syarat berkenaan, tetapi ada mengelak daripada berdepan dengan masalah tanah milik persendirian.

Jawapan itu turut disanggah oleh Radziah Ismail (PKR-Batu Tiga) yang bertanyakan bagaimana wakil rakyat di setiap kawasan hendak berkhidmat kepada rakyat, sedangkan mereka menghadapi masalah dengan kerajaan negeri dari segi untuk mendapatkan peruntukan.

Beliau juga membangkitkan peruntukan yang diterima portfolio itu berjumlah RM15 juta untuk perbelanjaan menyelenggara jalan kampung di seluruh negeri sangat kecil.

“Kami di kawasan selalu menerima aduan dan rungutan penduduk. Mereka bertanyakan bila jalan baharu mahu siap dan sebagaimana. Ini yang mendorong saya untuk meminta kerajaan negeri mengkaji semula jumlah peruntukan yang diterima.

“Seeloknya, serahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing untuk mengurusnya,” katanya. – MalaysiaGazette