Najip Ali salah seorang artis terlibat dalam rancangan Ok Chope di Singapura.

KUALA LUMPUR – Persatua Seniman Malaysia (Seniman) mengecam tindakan stesen penyiaran Mediacorp 5 milik Temasek Holdings yang menyiarkan rancangan OK Choppe, dimana kandungannya telah mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rancangan bual bicara berkonsep jenaka santai yang dikendalikan oleh pengacara Vernetta Lopez itu yang turut disertai oleh beberapa artis seperti Sam See, Najip Ali, Rishi Budhrani dan Mike Kassim dibidas kerana tidak sensitif dengan sensitiviti.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berpendapat, tidak wajar isu-isu yang melibatkan pemimpin sesebuah negara dijadikan bahan humor bagi sesebuah rancangan televisyen.

Katanya, Seniman mendesak penerbit rancangan Ok Choppe meminta maaf kepada Najib dan rakyat Malaysia atas keceluparan itu dan sekiranya gagal pihak berkuasa di negara ini perlu mengharamkan mereka ke Malaysia.

“Jika tidak kami akan mengetuai usaha untuk mengharamkan artis-artis biadap ini dari terus berkarya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan Seniman hari ini.

Dalam perkara sama, Hafiz menambah, pihaknya juga membuat keputusan untuk mengambil beberapa tindakan susulan dalam isu berkenaan sekiranya pihak yang berkenaan tidak memohon maaf seperti yang dituntut.

“Seniman akan mengambil beberapa langkah lagi jika permohonan maaf secara bertulis dan rakaman tidak dilakukan kepada Najib dan rakyat Malaysia dengan segera.

“Seniman juga akan membuat laporan polis pada Jumaat ini sebagai tindakan susulan dalam isu tersebut,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, tindakan artis bermulut celupar ini dapat menjejaskan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Singapura yang sudah terjalin sekian lama.

“Menyedari bahawa artis-artis Singapura juga tidak mampu cari makan di Singapura, kerajaan Malaysia juga telah mengamalkan dasar pintu terbuka kepada mereka untuk membantu mereka mencari rezeki di Malaysia namun tindakan jijik mereka dikesali,” katanya.- MalaysiaGazette.