ABDUL HADI AWANG

KUALA LUMPUR – Pas mahu Akta 164 dikaji semula secara mendalam menerusi satu jawatankuasa khas yang turut dianggotai wakil agama-agama lain di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas berpandangan bahawa implikasi menyeluruh yang bakal timbul daripada Akta 164 sangat serius.

Ia termasuk kesan terhadap kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka dan mempertahankan akidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dan pencemaran terhadap keutuhan institusi mahkamah syariah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara kita.

“Oleh yang demikian, Pas mencadangkan agar Akta 164 ini dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan satu Jawatankuasa Khas untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mahu jawatankuasa yang sama perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan termasuk mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan dan sebagainya.

Akta 164 secara langsung berkaitan terhadap hak kekeluargaan orang Islam di Mahkamah Sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta.

Dewan Rakyat hari ini meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali kini sebagai Akta 164.-MalaysiaGazette