Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika membuat lawatan ke International Modern Arabic School di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 04 APRIL 2017

PUTRAJAYA – Rakyat di negara ini digesa agar berlapang dada berhubung pindaan Akta 164 Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 yang akan dibawa kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu perlu kerana kerajaan telah mengambil semua langkah dalam memastikan hak dan kepentingan penganut agama lain diambil kira dalam pembentangan pindaan berkenaan.

“Kita harap apa juga keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan, mesti berlapang dada. Kita hormati semua agama dan hak semua kaum dan ini adalah keputusan kerajaan berdasarkan kepada kepentingan negara,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Pindaan berkenaan akan dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum sesi sidang Dewan Rakyat berakhir Khamis ini.

Pindaan akta berkenaan turut mendapat perhatian Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menggesa agar pembentangan pindaan itu ditarik balik dan ditangguhkan.

BACA: Kerajaan perlu tarik balik pinda akta perkahwinan, penceraian – Harussani

Ujar Harussani, pindaan tersebut banyak percanggahan daripada sudut perlembagaan dan hukum syarak, sekiranya diteruskan dibimbangi ia akan membawa kepada kesan yang lebih buruk kepada masyarakat.

“Perkara ini adalah cukup berat, satu perkara yang cukup bertentangan dalam perlembagaan dan lebih-lebih lagi terhadap agama Islam dan ia merupakan satu penentangan terhadap hukum yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Yang kedua apabila kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam yang telahpun diperkembangkan sebagai agama negara ini, membuatkan perbuatan ini telah menentang hukum Allah, bila menentang hukum Allah, hukumnya fasik yang membawa kepada syirik,” katanya semalam.

Mengulas mengenai itu, Zahid berkata satu pertemuan akan dibuat oleh beliau dengan Azalina sebelum pindaan itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Kita menghormati pandangan Tan Sri Harussani dan fatwa yang dibuat sebelum ini tetapi sebagaimana yang dimaklumkan oleh Speaker Dewan Rakyat kita akan melihat kepentingan negara mengatasi lain kepentingan,” tambah Zahid.

Dalam pindaan berkenaan, Rang Undang-Undang 164 itu akan berkisar mengenai situasi di mana pasangan suami isteri yang mualaf berkahwin dengan orang Islam.

Isu timbul apabila berlaku perceraian, di mana menyebabkan anak-anak pasangan berkenaan tidak boleh didaftarkan secara Islam oleh sama ada ibu atau bapa kecuali atas persetujuan kedua-duanya (ibu bapa) setelah anak itu mencapai usia 18 tahun. -MalaysiaGazette.