SPRM

PUTRAJAYA – Tiga pemain Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) direman selama tujuh hari atas dakwaan menerima rasuah bagi mengatur perlawanan Liga Perdana musim ini.

Perintah reman ke atas ketiga-tiga pemain itu dikeluarkan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho bagi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang pemain import Argentina berusia 29 tahun manakala dua lagi adalah warga tempatan masing-masing berusia 26 and 27 tahun.

Semalam SPRM  menahan tiga pemain itu kerana disyaki mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana.

Siasatan awal SPRM mendapati suspek berkenaan telah menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM 30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Difahamkan siasatan awal mendapati suspek-suspek telah terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek itu telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada wang rasuah yang diterima selama ini dan dijangkakan lebih ramai akan ditangkap dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette