Barisan pemimpin Gagasan Peneroka Felda Bangkit Untuk Sistem Yang Adil mengemukakan lima tuntutan susulan ke atas kegagalan Felda melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan peneroka.

SHAH ALAM – Gagasan Peneroka Felda Bangkit Untuk Sistem Yang Adil (Bangkit) hari ini mengemukakan lima tuntutan susulan ke atas kegagalan Felda melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan, khususnya pemberian bantuan kepada golongan peneroka di negara ini.

Jurucakap Bangkit, Razali Ithnain berkata, pihaknya menuntut agar Felda menghapuskan sistem monopoli dalam urusniaga buah kelapa sawit melalui pemberian lesen pekebun kecil dan menetapkan kadar perahan asas (KPA) yang lebih munasabah.

“Peneroka seharusnya diberi pilihan untuk menjual hasil kebun mereka ke mana-mana pusat yang menawarkan Kadar Perahan Gred (KPG) dan harga lebih baik.

“Tindakan melanggar prinsip menang-menang dalam urusniaga buah kelapa sawit akan membawa kecelakaan kepada kemampanan industri,” katanya pada sidang media badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Felda baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad baru-baru ini bahawa Felda yang mencecah 60 tahun penubuhannya sudah tentu akan ada masalah dan soal-soal sampingan sesuai dengan usianya.

Razali berkata, Felda digesa menghapuskan hutang tanam semula yang tidak munasabah dan badan itu perlu mengemukakan penyata hutang secara telus.

“Peneroka tidak seharusnya dibeban dengan hutang yang disebabkan oleh ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan Felda.

“Tindakan perniagaan Felda yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab akan mewujudkan keadaan tidak stabil dan merosakkan keharmonian dalam komuniti peneroka,” katanya.

Tambah beliau, bagi menghapuskan monopoli urusniaga buah kelapa sawit, Felda diminta membubarkan Felda Techno Plant (FTP) selaku kontraktor lantikan Felda.

“Pengurusan dan penanaman semula hendaklah diserahkan kepada peneroka atau koperasi peneroka yang diberi suntikan baharu melalui penjanaan hasil oleh peneroka.

“Konsep daripada peneroka untuk peneroka akan mendorong usaha peneroka menjadi produktif dan menguntungkan peneroka,” katanya.

Katanya, Felda juga bertanggungjawab menyiapkan rumah generasi kedua dan halangan-halangan berkenaan pemberian milikan perlu diatasi.

“Rumah generasi peneroka harus disiapkan segera dan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” tegasnya.

Tambahnya, perjanjian-perjanjian di antara Felda dan peneroka perlu dikaji semula dan diganti perjanjian yang lebih adil dan seimbang, sesuai dengan keadaan semasa.

“Selama ini para peneroka yang menandatangani perjanjian-perjanjian yang disediakan Felda tidak diberi apa-apa pilihan atau dibawa berbincang,” katanya. – MalaysiaGazette