KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin MIC bergelar Tan Sri bersama lima individu direman selama enam hari bagi mambantu siasatan tuntutan palsu berjumlah RM13 juta bagi kerja-kerja pemulihan sungai yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kesemua mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.30 pagi ini.

Perintah reman sehingga 11 April ini dibenarkan oleh Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.

Bekas Naib Presiden MIC itu ditahan di rumahnya di Johor semalam.

Seramai empat individu lagi yang berumur antara 33 hingga 63 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama ialah tiga orang jurutera JPS dan seorang bekas pengarah bahagian projek khas jabatan tersebut yang ditahan secara berasingan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Manakala individu keenam berusia 31 tahun yang merupakan seorang ahli perniagaan ditahan dipejabatnya pada pukul 11 malam semalam merupakan anak kepada Tan Sri tersebut.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan tuntutan pembekalan alat geotube untuk projek JPS yang meliputi kerja-kerja pemulihan sungai menerusi kaedah penggalian.

Mereka didakwa mengemukakan invois pembayaran berjumlah kira-kira RM13 juta bagi pembekalan 358 unit geotube. Difahamkan pembekalan sebenar yang dibuat adalah sebanyak 89 unit geotube berjumlah RM4 juta. – MalaysiaGazette