KUALA LUMPUR – Atas sambutan yang amat menggalakkan oleh ibu bapa dan murid terhadap Sekolah Integrasi Rendah Agama (SIRAJ), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengumumkan pengoperasian dua lagi sekolah berkenaan.

Menurut Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh, penambahan itu bagi meningkatkan jumlah murid yang faham dan patuh kepada agama.

“Tahun ini JAWI telah menambah pengoperasian dua buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) iaitu SIRAJ Abdullah Ibnu Abbas di Pantai Ria dan SIRAJ Abu Zhar Al Ghifari di Taman Beringin Jinjang. Ia di samping dua buah SIRAJ sedia ada iaitu Saidina Uthman Bin Affan dan Ali Alusi di Kampung Dato’ Keramat.

“Setakat ini kita ada 120 orang murid di SIRAJ. Kita sangat berharap kepada masyarakat agar memahami bahawa kelas yang kita ada sangat terhad. Permohonan di SIRAJ Saidina Uthman sahaja mencecah 650 permohonan untuk darjah satu sedangkan kita hanya mampu sediakan 140 tempat sahaja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Akademik JAWI 2016 di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur hari ini.

Antara lain penubuhan itu bagi mengimbangi sistem pendidikan dalam negara serta memenuhi keperluan masyarakat terhadap pendidikan agama anak-anak mereka.

“Dengan adanya SIRAJ pelajar tidak perlu lagi ke Sekolah Kebangsaan kerana kita ada modul sekolah kebangsaan dan ada modul agama.

“Ini tambah baik dalam sistem pendidikan yang ada di JAWI. Saya lihat ini adalah satu penambahan kepada satu sistem yang ada dalam membantu sekolah di Malaysia.

“Sebelum ini pelajar di sekolah SIRAJ melalui dua peralihan di waktu pagi dan petang. Jadi sekarang belajar di sekolah yang sama,” katanya lagi.

Setiap tahun, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sejumlah RM17 juta bagi menyediakan kemudahan dan prasarana pendidikan yang sempurna kepada anak-anak selaras dengan perkembangan semasa.

Ia turut meliputi elaun tambahan guru KAFA, kelengkapan infrastruktur sekolah, bantuan yuran murid serta aktiviti kurikulum dan kokurikulum murid Sekolah Rendah Agama (SRA) dan KAFA.

Malah sejumlah RM8.09 juta turut diperuntukkan MAIWP untuk menyiapkan dua lagi SRA di Al Jamaiyah Air Panas dan Presint 11 Putrajaya. – MalaysiaGazette