Shabudin Yahaya

PULAU PINANG – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataannya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu termasuk dalam kalangan media.

Menurutnya, beberapa akhbar dan portal berita memetik kenyataannya ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu di luar konteks dan tidak menelitinya secara menyeluruh.

Akibatnya, kata beliau, perbahasannya itu disalah tafsir dan dilaporkan dari sudut berbeza sehingga beliau dicemuh malah keluarganya turut menerima ancaman.

“Beberapa media dilihat seolah-olah sengaja memutarbelitkan fakta dan tidak memahami dengan jelas apa yang saya cuba sampaikan dalam perbahasan itu.

“Saya juga memandang serius dengan tindakan beberapa individu yang menimbulkan provokasi sehingga mengancam nyawa saya dan ahli keluarga termasuk untuk merogol anak saya,” katanya selepas merasmikan rumah Projek Mesra Rakyat di Pokok Machang, Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Shabudin menerima kritikan dan cemuhan pelbagai pihak selepas kononnya didakwa membuat kenyataan bukan kesalahan untuk gadis berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogol supaya tidak melalui masa depan yang gelap.

Kenyataan beliau itu disensasikan pelbagai pihak khususnya pembangkang yang kini menjadikannya senjata politik untuk menyerang beliau termasuk menganjurkan demonstrasi di Tasek Gelugor di sini bagi mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Shabudin berkata, media sepatutnya tidak mengelirukan rakyat dan meneliti secara menyeluruh apa yang cuba disampaikan dalam perbahasannya apatah lagi ia menyentuh isu sensitif.

 

Menurutnya, penekanan sebenar beliau ketika perbahasan itu adalah peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang perkahwinan dalam usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki.

Mengikut enakmen Islam, jelas beliau, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan ke bawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah, manakala bagi lelaki bawah umur 18 tahun yang juga ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Ini bermakna enakmen Islam tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan berkahwin di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki,” katanya. – MalaysiaGazette