Laporan stesen televisyen di Seoul yang menunjukkan bedilan peluru berpandu ke Laut Jepun pada Mac lalu. foto Reuters

PYONGYANG – Korea Utara berkata, serangan peluru berpandu Amerika Syarikat di Syria ‘membuktikan sejuta kali’ bahawa negara itu berhak mengukuhkan program nuklearnya.

Laporan medianya yang memetik jurucakap kerajaan yang tidak dinamakan berkata, serangan Amerika Syarikat ke atas Syria adalah ‘tindakan pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat’.

“Serangan peluru berpandu Amerika Syarikat terhadap Syria adalah tindakan yang jelas dan pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat dan Korea Utara mengutuk tindakan itu,” kata seorang pegawai kerajaan di Korea Utara, yang dipetik daripada KCNA.

Serangan itu dilakukan selepas serangan kimia di sebuah bandar Syria yang dikuasai pemberontak yang membunuh 89.

Korea Utara telah menjalankan ujian pembangunan peluru berpandu nuklear, meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengharamkan ujian yang dijalankan.

Tetapi Korea Utara telah berulang kali tidak mengendahkan sekatan yang dikenakan, sebaliknya berjaya menguji bom nuklear dengan meningkatkan kuasa dan mendakwa telah berjaya membuat kepala peledak kecil untuk dimuatkan pada peluru berpandu.

Bagaimanapun, beberapa pakar meragui dakwaan tersebut.

“Realiti hari ini menunjukkan kita mesti berdiri menentang kuasa dengan kuasa dan ia membuktikan satu juta kali lebih bahawa keputusan kami untuk mengukuhkan nuklear kami adalah pilihan yang tepat.

“Kuasa tentera sendiri akan melindungi kita daripada pencerobohan imperialis.

“Kami akan terus mengukuhkan kekuatan ketenteraan dalam pelbagai cara untuk menghadapi tindakan pencerobohan Amerika Syarikat,” kata media Pyongyang itu. – MalaysiaGazette