Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

PUTRAJAYA – Timbalan Mursidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata parti itu belum memuktamadkan keputusan samada akan bertanding di 80 buah kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Menurutnya, Pas masih belum mengadakan sebarang perbincangan di peringkat pusat bagi mana-mana kerusi yang akan ditandingi oleh parti berkenaan buat masa ini.

“Itu mungkin secara umum. Belum ada satu yang spesifik. Secara umum.

“Kita nak bertanding mesti ada kekuatan kita tapi mungkin itu satu daripada kenyataan awal dari pihak Pas,” katanya ketika ditemui dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di pejabat perdana menteri hari ini.

Nada berkenaan nyata berbeza dengan Naib Presiden Pas Idris Ahmad.

Idris dalam majlis Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pada Ahad lalu berkata parti itu meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU14 akan datang.

Oleh itu, PAS Wilayah Persekutuan mensasarkan sembilan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang akan ditandingi iaitu Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Yang lain ialah Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Malah Idris turut tidak menolak parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkemungkinan bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

Bagaimanapun katanya, angka dan kawasan baharu belum dimuktamadkan dan perincian itu masih dibuat oleh jentera pilihan raya sebelum keputusan dimuktamadkan oleh Pas Pusat.

“Saya rasa tidaklah sebegitu tapi akan lihat perkembangan-perkembangan mutakhir nantilah,” ujar Ahmad lagi.

Dalam pada itu, Ahmad berkata segala keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR akan diserahkan bulat-bulat kepada para perwakilan parti itu pada Muktamar Pas akhir bulan ini.

Jelasnya, seperti putus hubungan dengan DAP sebelum ini, ia dibawa ke sesi muktamar sebelum diputuskan Majlis Syura selaku majlis tertinggi dalam Pas.

Ditanya samada muktamar hujung bulan nanti akan membincangkan perkara mengenai memutuskan hubungan dengan PRK, katanya: “Itu ikut apa yang saya dengar dari pimpinan, terpulang pada pihak perwakilan untuk perbahasan. Perkara besar ini kita boleh serah ke muktamar,” katanya.

Hubungan Pas-DAP putus pada Muktamar Pas dua tahun lalu apabila sebahagian besar perwakilan mendesak kepimpinan utama Pas memutuskan hubungan dengan parti tersebut kerana seringkali diserang, terutamanya Hadi. – MalaysiaGazette.