Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga 91.6 peratus daripada kad bayaran berasaskan Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) telah digantikan dan 99.6 peratus terminal semasa jualan (POS) telah dinaiktaraf setakat akhir Mac 2017, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada masa sama, bank pusat berkata, dianggarkan 95 peratus kad debit aktif di POS dan 83 peratus kad debit aktif bagi mesin juruwang automatik (ATM) telah digantikan dengan kad debit berasaskan PIN.

“Industri telah membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk pertukaran kepada kad bayaran berasaskan PIN, memandangkan langkah itu adalah antara usaha bagi mempertingkatkan keselamatan infrastruktur kad bayaran,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

BNM mengingatkan para pemegang kad supaya menggunakan PIN masing-masing bagi semua transaksi domestik serta menggunakan kad bayaran yang dikeluarkan dalam negara di terminal POS mulai 1 Julai, 2017.

Pemegang kad mempunyai masa sehingga 30 Jun, 2017 untuk membiasakan dengan penggunaan PIN, kata bank pusat.

“Malaysia merupakan negara pertama di Asia-Pasifik yang menyempurnakan pertukaran kepada kad bercip pada 2005.

“Penerimaan piawaian cip antarabangsa telah mengurangkan kes penipuan kad palsu secara mendadak sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap pengunaan kad bayaran,” kata BNM.

BNM berkata, ia memperoleh semula kos pelaburan awal kira-kira RM200 juta hanya dalam tempoh dua setengah tahun, melalui pengelakan potensi penipuan kos.

“Pemegang kad asing, termasuk pelancong, telah meningkatkan perbelanjaan mereka sebanyak dua kali ganda sejak 10 tahun lepas, daripada RM4.3 bilion pada 2006 kepada RM8.7 bilion pada 2016,” menurut BNM.

Sementara itu, bank pusat berkata, penggunaan kad ATM telah meningkat dua kali ganda, memandangkan kad debit semakin menjadi pilihan berbanding tunai.

“Malaysia mencatat penembusan tinggi iaitu 44 juta kad debit/ATM untuk sejumlah 21 juta orang yang diterima bank,” kata bank pusat, dengan menambah 18 juta daripada kad itu digunakan secara aktif, kebanyakannya untuk pengeluaran tunai di ATM.

BNM mendapati penggunaan perkhidmatan pindahan dana secara elektronik turut meningkat, seperti melalui pindahan GIRO antara bank (IBG) dan pindahan segera pada 2016, berbanding cek.

“Pengeluaran cek susut sebanyak 35 peratus kepada 133 juta pada 2016 daripada 205 juta pada 2011.

“Sejajar dengan itu, jumlah transaksi IBG dan pindahan segera melonjak sebanyak 288 peratus kepada 257 juta pada 2016 daripada 66 juta pada 2011 disokong oleh peningkatan kemampuan, kebolehcapaian, mudah dan keyakinan perkhidmatan pindahan dana secara elektronik,” kata BNM.

Menurut BNM, perkhidmatan IBG dan pindahan segera boleh diakses oleh 99.9 peratus pemegang akaun semasa dan simpanan di Malaysia.

Bank pusat menekankan bahawa peralihan kepada bayaran secara elektronik merupakan pemboleh utama untuk kecekapan ekonomi, produktiviti dan daya kompetitif lebih tinggi. – MalaysiaGazette