Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti mengapa syarikat pelaburan itu menggugurkan namanya daripada tuntutan saman sebelum ini.

Shahrol Azral yang kini menjadi saksi pihak ketiga dalam tuntutan saman SRC terhadap Datuk Seri Najib Razak menafikan terdapat penyelesaian lain bagi memastikan namanya digugurkan daripada tuntutan ganti rugi sebanyak AS$1.18 bilion.

Ketika prosiding hari ini, Shahrol Azral mendakwa beliau tidak pasti mengapa SRC tidak jadi menuntut ganti rugi, dan sehingga hari ini beliau tidak bertanya kepada syarikat itu mengapa namanya digugurkan.

Ketika soal balas, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Shahrol Azral secara berterusan menafikan beliau mempunyai pengetahuan bahawa SRC tidak jadi meneruskan tuntutan ganti rugi terhadapnya.

Katanya, saman itu difailkan pada Mei 2021 dan SRC kemudian menarik balik tuntutan terhadap beliau.

Harvinderjit bertanya kepada Shahrol Azral adakah beliau meletak jawatan kerana terdapat sesuatu tidak kena, namun perkara itu dinafikannya.

Sebelum ini, Shahrol Azral dinamakan sebagai defendan keempat dalam tuntutan saman namun dikeluarkan oleh SRC dan kemudian dinamakan sebagai pihak ketiga atas permohonan Najib.

Selain Shahrol Azral, beberapa bekas pengarah SRC lain turut dinamakan pihak ketiga antaranya Datuk Suboh Md Yassin, Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin.

SRC menyaman Najib yang didakwa telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan manfat secara peribadi menggunakan dana syarikat tersebut.

Najib kini menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas mahkamah mendapati beliau menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – MalaysiaGazette