KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sedih selepas Kelantan FC disahkan menarik diri kempen Liga Kejuaraan MBSB Bank Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) 2024.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu kesal dengan kejatuhan Kelantan lagi-lagi beliau adalah watak utama ketika TRW meraih gelaran treble pada 2012.
Bukan itu sahaja, Annuar yang memegang jawatan Presiden KAFA dari tahun 2009 sehingga 2016 itu mencadangkan agar skuad TRW dipulangkan semula kepada persatuan negeri berkenaan untuk menerajuinya semula.
“Saya terbaca berita TRW tidak menyertai liga musim ini. Setahu saya keengganan ini bererti TRW bakal hilang hak untuk bermain di liga masa akan datang dan perlu memohon semula saperti pasukan yang baru diwujudkan. Ia tidak automatik.
“Jika demikian saya amat sedih dan kesal dengan situasi ini. Mematikan memang mudah, nak memajukan perlu bertahun lamanya. Dalam situasi begini apakah boleh di serahkan semula TRW kepada KAFA dengan satu nilai token sahaja?
“Dengan demikian TRW boleh diambil alih oleh pihak pihak lain yang boleh dan mampu memulakan ‘plan merekayasa’ pasukan dan tidak terkubur. Janganlah ditalkinkan TRW,” tulisnya.
Baru-baru ini, Presiden The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman mengesahkan kelab bola sepak yang pernah berpengaruh itu menamatkan perjuangan mereka di saingan domestik selepas menarik diri kempen Liga Kejuaraan MBSB Bank Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) 2024.
Untuk rekod, selepas Annuar melepaskan jawatan sebagai Presiden KAFA dan jawatan itu kemudiannya digantikan seorang usahawan ternama, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum beberapa individu lain turut mencuba membawa kembali zaman kegemilangan TRW. – MalaysiaGazette