Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek berucap pada Program Chillax Agropreneur Muda TN50 di MAEPS Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 12 APRIL 2017

SERDANG – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan membawa cadangan untuk menurunkan had umur minimum peladang daripada 18 kepada 13 tahun.

Cadangan itu akan dibawa beliau kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, cadangan itu merupakan aspirasi yang baik dalam usaha kerajaan menanam kecintaan belia dalam bidang pertanian memandangkan ia turut melibatkan soal keselamatan makanan pada masa akan datang.

“Berdasarkan penanda aras dunia melalui laporan ekonomi, daripada 113 negara di dunia, Malaysia berada di tangga ke-35 daripada segi keselamatan makanan. Masih di peringkat sederhana belum jadi terbaik.

“Kita cuma boleh berbangga Malaysia lebih baik negara Thailand, Vietnam, India, Brazil dan Filipina serta China. Malaysia ada ranking yang boleh dibanggakan,” jelas Shabery Cheek.

Beliau berkata demikian dalam Program Chillax Agropreneur Muda TN50 di Malaysia Agro Exposition Park Serdanag (MAEPS) di Serdang malam tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada program berkenaan, lebih 3,000 belia termasuk pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam, swasta serta kolej tempatan hadir terutama mereka  daripada pelajar jurusan bidang pertanian dan agrikultur.

Beliau turut mempertimbangkan aspirasi daripada pelajar Universiti Putra Malaysia yang mahu melihat graduan jurusan pertanian dan agrikultur dipandang lebih tinggi dengan pemberian gelaran seperti kerjaya profesional lain seperti doktor dan jurutera.

“Ia melibatkan banyak pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan kita akan melihat adakah amalan ada diamalkan di negara lain.

“Bagi saya pangkat seperti IR (untuk jurutera) penting bagi (graduan pertanian) dalam usaha meningkatkan martabat petani, mereka yang terlibat dalam pertanian serta yang menjurus dalam pengkhususan pelajar tersebut dan diiktiraf atau tidak,” katanya.

Sementara itu, di dalam program yang sama, Ahmad Shabery berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk melancarkan visi baharu untuk memastikan Malaysia terus menyaingi atau berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang maju.

Katanya, kemajuan negara perlulah seimbang dengan turut mengutamakan perkembangan sektor pertanian bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara berada dalam kedudukan yang baik, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. – Malaysia Gazette.