Pemangku Pengarah Besar Felda, Abdul Ghani Mohd Ali (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Bhd., Datuk Ahmad Azizi Ali (kanan) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek rumah mampu milik generasi baharu Felda. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mensasarkan untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik generasi baharunya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata, berdasarkan fasa terdahulu yang mana anak-anak peneroka yang membeli rumah tersebut pada harga RM90,000, Felda kini menawarkan rumah pada harga lebih murah dan berpatutan, iaitu RM49,000 selepas diberikan subsidi sebanyak RM20,000 seunit.

“Dahulu kita jual pada harga RM90,000 seunit dan dalam masa yang sama memberikan subsidi keseluruhan sebanyak RM890 juta.

“Tetapi kita lihat ia tidak menepati kehendak anak-anak peneroka ini kerana permintaan mereka adalah rumah mampu milik dan mampu dibayar jadi kita tengok, sudahlah rumah tersebut dijual pada harga RM90,000 dan subsidi yang diberikan juga tinggi namun masih belum menepati kehendak mereka.

“Jadi selepas berbincang dengan lembaga pengarah dan Perdana Menteri sendiri, kami memutuskan untuk membina rumah sahaja di atas tapak yang disediakan oleh pembeli.

“Dari situ kami boleh menawarkan harga yang lebih murah,” katanya semasa sidang media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Felda dan SPNB bagi pelaksanaan projek rumah mampu milik generasi baharu Felda.

Menurut Shahrir, lokasi-lokasi projek telah dikenalpasti, namun mereka perlu turun padang bagi memastikan projek tersebut dapat dijalankan mengikut permintaan sebenar untuk mengelakkan pembaziran.

Pelantikan SPNB sebagai agensi pelaksana juga menurut beliau, dapat mengurangkan harga rumah berkenaan.

Sebelum ini SPNB terlibat membina rumah di 54 kawasan Felda yang melibatkan lebih 1,000 unit rumah mesra rakyat di lima negeri. – MalaysiaGazette