Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas masih bertegas dengan tindakan yang dilakukan oleh akhbar Nanyang Siang Pau berhubung penerbitan karikatur monyet melibatkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai tindakan yang keterlaluan.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali, ucapan maaf sahaja tidak mencukupi sebaliknya tindakan tegas perlu diambil terhadap akhbar berkenaan.

“Permohonan maaf tidak mencukupi.  Kesalahan mesti dihukum dengan penggantungan atau apa sahaja yang munasabah sebagai pengajaran untuk akan datang dan peringatan kepada media-media lain.

“Nanti akan ada lagi pihak yang dengan sengaja mengeluarkan kata penghinaan dan provokasi perkauman setelah ia tersebar dan berjaya mencapai sasarannya apabila ia ditutup dengan permohonan maaf,” kata Khairuddin kepada Malaysia Gazette.

Menurutnya ‘kemusnahan’ telah berlaku dan ia tidak setimpal dengan hanya permohonan maaf dan menganggap perkara tersebut telah selesai.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap akhbar Nanyang Siang Pau berhubung penerbitan kartun monyet tersebut.

Ini kerana pihaknya telah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan oleh akhbar berkenaan.

“KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan berhubung perkara itu,” kata Jazlan yang dipetik daripada China Press dan Nanyang Siang Pau selepas merasmikan sebuah majlis di Taman Bukit Indah, Gelang Patah, Johor, malam tadi.

Bagaimanapun Pas sebelum ini melalui setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas akhbar Nanyang Siang Pau dengan kadar segera.

Pihaknya telah menghantar salinan pelantikan peguam itu kepada Peguambela dan Peguamcara Tetuan Tengku Amilin ‘A-Ishah Puteri, Faizi dan Wan Rohimi untuk tindakan.

11 April lalu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari bersama sebahagian ahli dan penyokong PAS menunjukan memorandum bantahan yang diserahkan kepada pengurusan akhbar Nanyang Siang Pau.

Demontrasi berkenaan diadakan bagi menyerahankan Memorandum Bantahan Kebiadapan Akhbar Nanyang Siang Pau di hadapan pejabat urusan akhbar tersebut di Petaling Jaya. – Malaysia Gazette.