Carta penipuan skim pelaburan jual beli minyak sawit dan wang RM31 juta mangsa penipuan yang berjaya dicekup dan ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya tangkap suspek penipuan selain merampas kereta mewah dalam operasi di ibu negara semalam. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Satu sindiket skim penipuan pelaburan berasaskan jual beli minyak kelapa sawit yang menipu wang pelabur berjumlah RM31 juta berjaya ditumpaskan Polis Bukit Aman.

Polis dalam beberapa operasi di Kuala Lumpur dan Selangor berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai salah seorang individu penting sindiket itu.

Polis juga merampas beberapa kereta mewah dan wang tunai dalam operasi yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek itu kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis juga akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Nissan GTR, kereta jenis Lamborghini Avantado, sebuah kereta Porsche Panamera, motosikal BMW GS R1200, sebuah motosikal Harley Davidson Fatboy, sebuah kompueter, dokumen geran kenderaan, geran tanah,  wang tunai berjumlah RM53,035 dan 18.8 juta rupiah.

“Siasatan turut mendapati sindiket  itu telah mengutip wang pelaburan kira-kira RM31 juta,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum itu, pihak polis telah menerima sebanyak 248 laporan polis berkenaan satu skim penipuan yang menggunakan nama pelaburan minyak sawit mentah.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelaburan yang berasaskan jual beli minyak kelapa sawit itu terbahagi kepada empat pakej pelaburan iaitu Pakej 1 Matrik Tan, Pakej 2 Matrik Tan, Pakej 5 Matrik Tan dan Pakej 10 Matrik Tan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya tangkap suspek penipuan skim pelaburan jual beli minyak kelapa sawit melibatkan RM31 juta selain merampas kereta mewah dalam operasi di ibu negara semalam. Foto PDRM
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya tangkap suspek penipuan skim pelaburan jual beli minyak kelapa sawit melibatkan RM31 juta selain merampas kereta mewah dalam operasi di ibu negara semalam. Foto PDRM

Siasatan lanjut polis mendapati pelabur dijanjikan dividen berbeza mengikut pakej dan pakej pertama pelabur dikehendaki membayar RM1,855 dan dijanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus.

“Bagi Pakej 2 Matrik Tan, pelabur dikehendaki membayar RM3,559.50 dan dijanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus, bagi Pakej 5 Matrik Tan pelabur kena bayar RM8,540 dan diberikan dividen sebanyak lima peratus manakala bagi Pakej 10 Matrik Tan pelabur kena bayar RM16,422 dengan dividen berjumlah 30 peratus,” tegasnya.

Setiap pelabur dijanjikan bayaran dividen setiap 12 hari bekerja setiap bulan.

Sindiket yang sama juga turut menjanjikan bonus penajaan kepada pelabur yang berjaya membawa pelabur baharu.

Malah siasatan mendapati, pada peringkat awal, sindiket telah membayar dividen sebagaimana dijanjikan dan dipercayai langkah  itu bagi meyakinkan pelabur pada peringkat awal.

“Namun setelah pelaburan itu berkembang dan kebanyakan pelabur telah membuat penambahan pelaburan dalam jumlah besar, pihak sindiket menutup operasi syarikat sebelum melarikan diri.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya tangkap suspek penipuan skim pelaburan jual beli minyak kelapa sawit melibatkan RM31 juta di ibu negara semalam. Foto PDRM
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya tangkap suspek penipuan skim pelaburan jual beli minyak kelapa sawit melibatkan RM31 juta di ibu negara semalam. Foto PDRM

“Suspek yang ditangkap ialah anak kepada suspek utama dan berperanan mengendalikan wang syarikat pelaburan itu yang mula aktif sejak awal tahun 2016.

“Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sebegini.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat kema buat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kegiatan penipuan,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette