Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran akan bertindak agresif menangani kes rasuah bola sepak.

“Saya dah mengarahkan pegawai-pegawai saya sekiranya maklumat atau aduan yang diterima itu ada menunjukkan prima facie yang boleh kami menjalankan tindakan. Tindakan keras akan diambil.

“Kita mesti memastikan kecemerlangan sukan di negara ini tercapai,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Program Sehati Sejiwa Perangi Rasuah Sukan bersama pemimpin badan sukan kebangsaan di Institut Sukan Negara.

Majlis disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Azam bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada terdapat lagi tangkapan berhubung kes rasuah bola sepak.

“Saya meminta organisasi sukan melihat isu-isu ini untuk mencegahnya sebelum merebak dengan lebih serius,” ujarnya lagi.

Terdahulu, seorang bookie berusia 49 tahun sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari bersama tiga pemain bola sepak kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), bagi membantu siasatan kes mengatur keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana.

Tiga pemain 26 hingga 29 tahun termasuk seorang pemain import sebelum ini turut direman tujuh hari bermula 6 April lalu bagi membantu siasatan mengambil suapan daripada bookie berkenaan tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Difahamkan, bookie berkenaan menawarkan RM10,000 hingga RM30,00 kepada pemain MISC-MIFA sebagai habuan bagi menentukan keputusan perlawanan.

Bagaimanapun, Azam memberitahu, isu rasuah dalam organisasi sukan tidak serius buat masa ini namun tidak bermakna usaha menanganinya tidak berterusan.

“Isu rasuah kalau melibatkan organisasi sukan tidaklah serius lagi, masih lagi terkawal tetapi dengan usaha kami dengan pembacaan ikrar seperti hari ini,” jelas Azam.

Dalam majlis itu kesemua pemimpin badan sukan membaca dan menandatangani ikrar bebas rasuah.

Menurut beliau, pegawai pengurusan sukan tertakluk kepada undang-undang kerana mereka merupakan pegawai badan awam mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

“Kes-kes yang ada buat masa ini menunjukkan pegawai pengurusan banyak terlibat dalam isu salah guna kuasa dan isu berkaitan prokumen iaitu pembelian dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam sidang tersebut Azam turut ditanya mengenai perbandingan isu rasuah pengurusan sukan dengan bola sepak yang kini mendapat perhatian, Azam memaklumkan perbandingan sukar untuk dilakukan.

“Rasuah dalam sukan bola sepak lebih diperkatakan mungkin kerana mereka ramai dan sukan lebih popular namun isu rasuah melibat pengurusan sukan di negara dipandang ringan,” tambahnya lagi.- MalaysiaGazette