Penjaga gol Manchester City yang kini dipinjamkan kepadsa Torino akan menyertai Liverpool pada akhir musim ini. Foto: Getty Images

ANFIELD – Pemenang berganda Liga Perdana Inggeris, Joe Hart kini dalam proses penghijrahan ke Anfield pada akhir musim ini.

Penjaga gol kebangsaan England itu kini dipinjamkan ke kelab Torino oleh Manchester City.

Joe Hart dilaporkan akan menyertai Liverpool akhir musim ini.

Pengurus the Kops, Jurgen Klopp dikhabarkan akan membelanjakan £20 juta (RM113 juta) untuk mendapatkan penjaga gol Manchester City itu.

Joe Hart tidak lagi diberi kepercayaan di Etihad oleh Pep Guardiola dan telah dilepaskan secara pinjaman ke Torino.

Joe yang menjangkau usia 30 tahun hari ini mempunyai kontrak dua tahun lagi bersama Man City.

Torino yang turut berminat terhadap Hart bagaimanapun tidak mampu membeli dengan nilai yang ditetapkan Pep, tetapi mahu melanjutkan pinjaman pemain itu untuk semusim lagi.

Tetapi kelab itu dimaklumkan Joe tidak akan dilanjutkan pinjaman oleh Man City.

Pep kini dikatakan bersedia melepaskan pemain itu yang kini bersama liga Serie A dan disukai peminat bola di Itali.

Hart telah beraksi dalam 350 penampilan bersama Man City termasuk menjulang kejuaraan liga domestik pada musim 2011-12 dan 2013-14 dan Piala FA.

Hart turut menarik perhatian Manchester United dan Chelse dan kedua-duanya ingin mengikat Hart sekiranya David de Gea atau Thibaut Courtois meninggalkan EPL untuk Real Madrid.

Tetapi Klopp hilang sabar dengan Simon Mignolet atau Loris Karius yang tidak beraksi cemerlang di pintu gol.

Klopp meragui kebolehan kedua-dua pemain itu untuk bersaing dalam merebut kejuaraan liga.

Kini Klopp dikatakan melihat pengalaman Hart dan kebolehannya serasi untuk Liverpool. – MalaysiaGazette