DUBAI – Emirates akan mengurangkan penerbangan ke lima buah bandar di Amerika Syarikat mulai bulan depan berikutan pelaksanaan peraturan keselamatan baharu yang mensasarkan kepada pengembara Asia Barat.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu berkata, perubahan itu disebabkan permintaan yang merosot bagi penerbangan ke Amerika Syarikat.

Pada Mac lalu, Amerika Syarikat telah mengharamkan peralatan elektrik lebih besar daripada telefon bimbit daripada 10 lapangan terbang.

Ia termasuk Dubai dan lapangan terbang dari Asia Barat, Afrika Utara dan Turki.

United Kingdom juga melaksanakan peraturan sama.

Jurucakap Emirates berkata, tindakan oleh Amerika Syarikat berhubung pengeluaran visa kemasukan, peningkatan tapisan keselamatan dan sekatan ke atas peranti elektronik di dalam kabin pesawat mempunyai kesan langsung kepada kepentingan pengguna dan permintaan bagi perjalanan udara ke Amerika Syarikat.

“Sejak tiga bulan ini, kita lihat berlaku penyusutan yang ketara dalam profail tempahan di semua laluan Amerika Syarikat, merentasi semua segmen pengembaraan,” katanya.

Presiden Emirates, Tim Clark berkata, pada bulan lalu permintaan ke Amerika Syarikat jatuh kira-kira satu pertiga sejak pengumuman Trump.

Lantaran itu, Emirates akan mengurangkan penerbangan terus ke Fort Lauderdale dan Orlando kepada lima kali seminggu pada bulan Mei berbanding satu penerbangan setiap hari.

Emirates juga akan mengurangkan penerbangan dua kali sehari ke Seattle dan Boston pada bulan Jun kepada sehari sekali dan kekerapan sama bagi laluan Los Angeles bermula Julai nanti.

Setakat ini, pesaingnya, Etihad masih belum membuat sebarang perubahan dalam penerbangan ke enam bandar di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette