FB Michelle Yeoh

KUALA LUMPUR – Bintang Hollywood dan pelakon terkenal Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh, telah menerima Pingat Kebebasan Presiden dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat.

Majlis yang diadakan di Rumah Putih pada Jumaat malam (3 Mei) waktu tempatan atau pada pagi Sabtu (4 Mei) di Malaysia, menandakan satu detik bersejarah apabila Yeoh menjadi pelakon Asia pertama yang menerima penghormatan tertinggi negara berkenaan.

Rumah Putih dalam pengenalannya menyifatkan Yeoh sebagai seorang daripada pelakon paling terkenal pada masa ini dan selama empat dekad telah memecahkan stigma dan stereotaip untuk membina kerjaya yang cemerlang sebagai salah seorang penghibur paling serba boleh di dunia.

“Menjadi warga Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) sebagai Pelakon Wanita Terbaik, usahanya untuk memajukan kesaksamaan jantina, isu pemuliharaan dan kesihatan global telah dirasai di seluruh dunia.

“Sama ada sebagai penghibur atau perintis, Michelle Yeoh terus memperkaya budaya Amerika dan memberi inspirasi kepada kami untuk mempercayai kemungkinan dalam filem-filem dan seterusnya,” katanya semasa Biden menganugerahkan beliau dengan Pingat Kebebasan Presiden.

Acara itu turut disiarkan secara penstriman langsung di laman Facebook The White House.

Kemenangan bersejarah Yeoh di Oscar pada tahun 2023 untuk peranannya dalam filem “Everything Everywhere All At Once” mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri hiburan.

Beliau merupakan seorang penyokong vokal untuk pemuliharaan alam sekitar dan tujuan kemanusiaan, menggunakan platformnya untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong perubahan positif pada skala global.

Selain pencapaian sinematiknya, usaha kebajikan Yeoh juga mendapat pujian meluas.

Yeoh sebagai duta pertukaran budaya dan persefahaman, menunjukkan nilai keterangkuman, empati dan daya tahan yang mentakrifkan semangat Pingat Kebebasan Presiden.

Selain Yeoh, 18 individu lain turut dianugerahkan penghormatan berprestij itu.

Mereka termasuk Ellen Ochoa, wanita Hispanik pertama di angkasa dan Jim Thorpe, atlet legenda juga Orang Asli Amerika pertama memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1912.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast