Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood pada sidang media mengenai kemungkinan memberi kelonggaran kepada peniaga bukan Islam.

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan mungkin akan memberikan kelonggaran kepada peniaga bukan Islam di kawasan pasar malam majoriti masyarakat tersebut untuk meneruskan perniagaan seperti biasa pada waktu azan maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya akan berbincang dengan golongan tersebut bagi memastikan keharmonian di antara kaum terus terjaga.

Beliau berkata, arahan supaya menghentikan perniagaan seketika pada waktu maghrib bertujuan memberikan keselesaan kepada orang Islam menunaikan solat kerana lokasi pasar malam lazimnya agak jauh daripada tempat solat.

“Kita sedia berbincang jika ada laporan dan permintaan daripada peniaga bukan Islam.

“Matlamat sebenar kita adalah memberi keselesaan kepada peniaga Islam yang menjadi majoriti peniaga pasar malam untuk menunaikan solat maghrib memandangkan jangka waktunya yang pendek.

“Kita meminta peniaga menghentikan operasi hanya selama 10 minit sahaja selepas azan maghrib dan saya yakin ini tidak menjejaskan perniagaan bahkan boleh menjadi tarikan pelancong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, timbul pelbagai polemik mengenai arahan tersebut sehingga dikatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang juga ahli DAP mahu menyaman Kerajaan Pas Kelantan kerana menyifatkannya bertentangan dengan perlembagaan.

Arahan tersebut bukan peraturan baru dan ja telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sejak tahun 1995 sebelum diperluaskan ke seluruh negeri inj pada 2005.