BURNLEY – Wayne Rooney membuktikan dia masih peledak berbisa apabila meledak satu gol selepas kembali dalam kesebelasan utama Manchester United.

Rooney, 31, membantu skuad bimbingan Jose Mourinho meraih kemenangan berhara 2-0 ke atas Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi ketika skuad itu diselubungi kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan United menghampiri kelompok empat pasukan teratas liga dan meneruskan rekod tanpa kalah dalam liga kepada 23 perlawanan.

Rooney yang kali terakhir menjaringkan gol pada 4 Mac lalu tampil dalam kesebelasan utama buat kali kedua tahun ini susulan kecederaan Zlatan Ibrahimovic dan Mourinho memilih untuk meletakkan pemain muda, Marcus Rashford di bangku simpanan.

United di depan selepas Anthony Martial terlebih dahulu membuka jaringan di Turf Moor selepas menyambut hantaran Ander Herrera pada minit ke-21.

Rooney melebarkan jurang dengan jaringan peribadi ke-251 pada minit ke-39 selepas menampan bola yang ditepis penjaga gol tuan rumah, Tom Heaton.

United kini menghuni tangga kelima liga dan ketinggalan satu mata di belakang seteru tetangga, Manchester City di tempat keempat.

Kedua kelab itu bakal bertemu pada aksi ‘Manchester Derby’, pada Khamis ini. – MalaysiaGazette