Abdul Hadi Awang (tengah) membuat gimik perasmian Muktamar PAS ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2017.

ALOR SETAR – Pemimpin wajib ditukar kalau mempunyai prinsip dan perjuangan yang salah, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ujar beliau, tugas Pas ialah menukar pemimpin yang gagal memiliki jati diri Islam dan memerintah mengikut sesuka hati.

Selain itu, katanya, Pas juga berdepan dengan parti liberal dan nasionalis yang mengaku Islam, tetapi tidak melaksanakan mengikut syariat yang dianjurkan al-Quran dan hadis.

“PRU14 perlu diadakan sekurang-kurangnya sebelum Jun 2018. Ketika ini parti berfahaman liberal dan nasionalis giat mengumpul kekuatan sokongan sehingga berlaku cabar mencabar dan berlumba untuk beroleh kemenangan.

“Bagi Pas, kita menyerahkan kepada Allah kerana Allah akan memberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya,” katanya menyampaikan ucapan dasar Presiden dan perasmian Muktamar Tahunan Pas kali Ke-63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, dekat sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, beliau kesal kerana ada parti yang mengejar kepentingan diri telah secara tidak langsung dilihat menentang Islam.

“Ini adalah satu ancaman besar kepada keharmonian negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pas sudah jelas, perjuangan kita ialah membangun bersama Islam dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sederhana iaitu suatu pendekatan yang lebih berkesan,” katanya.

Abdul Hadi turut mengajak jentera Pas bersama-sama mengamit pengundi di negeri Pantai Barat yang memerlukan bantuan untuk menyampaikan mesej jelas perjuangan parti kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, kerjasama Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) melalui blok ketiga Gagasan Sejahtera (GS) sejak dua tahun lalu menyaksikan mereka semakin kuat. – MalaysiaGazette