Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan Kelantan, masing-masing didenda RM10,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat salah laku penyokong pada dua perlawanan berasingan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, dua pasukan terbabit didenda atas kesalahan penonton membaling objek ke dalam padang ketika aksi membabitkan JDT dan Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 9 April lalu.

Jelasnya, kesalahan turut dikesan pada pertembungan antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 12 April lalu.

“Berdasarkan pertuduhan, penyokong JDT didapati membaling objek berupa gulungan resit ketika perlawanan JDT menentang Melaka.

“Sementara itu, penyokong Kelantan pula membaling botol pada perlawanan Kelantan menentang JDT,” katanya menerusi satu kenyataan di laman rasmi Facebook FAM.

Baljit mengingatkan penyokong bola sepak tanah air supaya sentiasa menjaga tingkah laku masing-masing ketika menyaksikan perlawanan di stadium.

“Ini kerana yang menjadi mangsa adalah pasukan masing-masing, yang terpaksa membayar denda atas kesalahan penyokong,” katanya. – MalaysiaGazette