KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) memandang serius penganjuran konsert Megadeth di Stadium Negara Jumaat ini.

Ketua Penerangannya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pada 2001, kumpulan rock thrash metal dari Amerika Syarikat itu pernah dihalang menganjurkan konsertnya di Kuala Lumpur.

Kata beliau, asas halangan itu dibuat kerana difahamkan pengaruh muzik kumpulan Megadeth membawa kesan negatif kepada peminat.

Hishamuddin turut mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa dalam menangani penganjuran konsert berkenaan walaupun Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali Ke-107 pada 10 dan 11 Februari 2015 begitu jelas diperakukan.

“Demi masa depan negara yang lebih gemilang dan keseimbangan pembangunan rakyat yang berkualiti tinggi, DPPM mempersoalkan penganjuran konsert seperti ini.

“Apakah ia membawa faedah besar kepada rakyat atau hanya membuka ruang untuk rakyat menyaksikan budaya tidak sihat dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Hishamuddin Abdul Karim
Hishamuddin Abdul Karim

Sementara itu, Hishamuddin menafikan DPPM mengeluarkan poster berkaitan kenyataan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi kononnya akan menggerakkan usaha untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah konsert itu.

“Kita telah menerima maklumat mengenai sebaran poster secara maya yang telah mengaitkan Ketua Pemuda Pas yang antara isi kandungannya dalam kenyataan tersebut menyatakan mengenai kerosakan akidah menyertai konsert Megadeth serta usaha menggerakkan Pemuda Pas berhimpun bagi melaksanakan bantahan.

“Kita menafikan sebarang poster berkait dengan kenyataan tersebut oleh pihak Ketua DPPM,” katanya yang turut menjelaskan, Islam tidak menghalang hiburan, malah memberikan peluang kepada umahnya untuk berhibur dengan sempadan cukup jelas dan mudah. – MalaysiaGazette