Duta produk, Khai Bahar menunjukkan produk Minyak Wangi 'Bayang oleh Khai Bahar' yang merupakan produk terbaharu RiSES Perfumes pada majlis pelancaran produk tersebut di Zebra Square, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Khai Bahar menepis tanggapan segelintir peminat dunia hiburan yang dia tidak layak memenangi Artis Baharu MeleTOP pada Anugerah MeleTOP ERA (AME) 2017 baru-baru ini.

Jelas Khai, 23, ini kerana kemenangannya pada anugerah itu adalah berdasarkan undian peminat dan populariti yang diraih menerusi lagunya, Bayang.

Jejaka kelahiran Kangar, Perlis itu berharap peminat tidak lagi membandingkan dengan penyanyi muda popular yang seangkatan dengannya pada masa akan datang.

Sebelum itu, ramai peminat seni hiburan meramalkan penyanyi sensasi, Aiman Tino bakal memenanginya.

“Saya sendiri tidak menyangka akan menang dan macam tidak percaya.

“Dapat masuk top 5 pun sudah bersyukur. Jadi orang janganlah membandingkan kami kerana peminat kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Anugerah Artis Baharu itu pun dipilih berdasarkan undian dan tanpa peminat siapalah saya. Pendapat saya, enyanyi baru ketika ini bersaing secara sihat dan peminat bebas suka sesiapa,” kata Khai.

Khai ditemui pada sidang media majlis pengumumannya sebagai duta minyak wangi dikenali Bayang By Khai Bahar yang dkeluarkan secara edisi terhad di sini hari ini.

Pada AME 2017, Khai menewaskan Aiman yang menjadi pilihan ramai selain Mat Dan dan Nadya Shaheera.

Ketika ini, muncul ramai penyanyi muda yang sedang meningkat naik selain Khai dan Aiman iaitu Tajul Arif, Irfan Haris dan Haqiem Rosli kerana popular dengan lagu masing-masing.

Mengulas pelantikannya sebagai duta, Khai menafikan dia menerima tawaran itu disebabkan bayaran yang tinggi.

Jelasnya, dia menerima tawaran itu pada bulan lalu dan menyifatkannya sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan dalam usaha menceburi bidang bisnes pada masa akan datang.

Bayang By Khai Bahar dikeluarkan oleh RiSES Perfume yang dijual berharga RM90 bagi botol bersaiz 30 mililiter. – MalaysiaGazette