Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perpecahan dalam pembangkang akan memusnahkan kestabilan ekonomi negara sekiranya mereka diberikan kuasa oleh rakyat untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejak 1986 pembangkang dilihat tidak pernah sependapat dan bercakaran sesama sendiri membuatkan pelbagai pakatan yang ditubuhkan akhirnya tepaksa dibubarkan dek kerana perbezaan ideologi dan matlamat.

“Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk sembilan pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008. Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?

“Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat. Kerajaan yang diperintah mereka ini berpecah belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum,” soalnya dalam najibrazak.com.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara dan salah satu faktornya adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah.

Justeru katanya, melihat pada sejarah pakatan pembangkang, mereka tidak mampu bertahan lama.

“Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat.

“Manakala di Selangor pada masa ini, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya Pas atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas,” jelas Najib.

Kedudukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dikhabarkan goyah apabila ada ura-ura beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR akan melompat parti dan membolehkan Barisan Nasional (BN) dan Pas mengambil alih negeri itu dan membentuk kerajaan campuran.

Mengulas lanjut, Najib berkata, perkara sama akan turut berlaku di peringkat kerajaan persekutuan apabila perbalahan dan percanggahan pendapat di kalangan gabungan pembangkang tidak diselesaikan, malah akan memberi kesan kepada negara dan masyarakat.

“Bayangkan sekiranya perkara ini terjadi di peringkat persekutuan. Untuk memastikan ekonomi membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan,” ujar Najib.

Pakatan Harapan (PH) terus dilanda masalah apabila cadangan logonya dihentam teruk oleh netizen.

Cadangan itu dikemukaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menimbulkan ketegangan di kalangan kepimpinan PH apabila ada yang menghentam Rafizi berhubung logo berkenaan. -MalaysiaGazette