KUALA LUMPUR – Bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, Pas membuat percaturan baru dengan melakukan beberapa perubahan dalam struktur organisasi Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

Antaranya melantik Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ketua pengarah pilihan raya yang baharu bagi menggantikan Datuk Mustafa Ali.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Muhyi mengambilalih jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor dari Datuk Iskandar Samad.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan di ibu pejabat parti yang memutuskan pertukaran jawatan berkenaan selepas mesyuarat jawatankuasa kerja Pas pusat berakhir hari ini.

Dalam kabinet baru itu, Razman Zakaria dilantik sebagai Bendahari Pas yang baru selain kekal sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, kekal sebagai Ketua Penerangan.

“Jawatan Naib Presiden lebih tinggi dari pesuruhjaya, jadi Sallehen boleh memberikan tumpuan jaga Pas di Selangor sebab dia juga bukan exco,” jelas Takiyudin.

Beberapa negeri turut mendapat Pesuruhjaya baharu antaranya Ketua Ulama Terengganu, Datuk Hussein Awang dipilih menggantikan Satiful Bahri Mamat. -MalaysiaGazette.