Zhang Jian sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa diri sebagai bakal orang paling kaya di dunia. Dia turut mendirikan papan iklan mengenai dakwaan itu di pelbagai tempat di Malaysia.

SERDANG – Akhbar-akhbar Cina terus mendedahkan pelbagai skim pelaburan yang mencurigakan malahan melibatkan penipuan yang berleluasa di negara ini.

China Press melaporkan, skim pelaburan Bai Lei Men yang membuka tirai tidak lebih daripada 15 hari telah menggulung tikar dengan pengendalinya berkemungkinan melarikan hampir RM4 juta.

Skim-skim permainan wang (money game) menjanjikan pulangan lumayan dengan modal kecil untuk menarik perhatian pelabur.

Pengendali skim yang mengaut keuntungan jangka pendek akan menghilangkan diri selepas itu.

Skim-skim pelaburan termasuk yang berunsur cepat kaya dan piramid menjadi topik utama dalam akhbar-akhbar Cina selepas beberapa skim seumpama termasuk JJ Poor to Rich dan Richway dilaporkan mengalami masalah kewangan baru-baru ini.

Sebuah lagi skim pelaburan, Change Your Life juga dilaporkan berdepan krisis.

Kejadian itu berlaku pada ketika Zhang Jian dari China yang mendakwa diri sebagai ‘bakal orang paling kaya’ dilaporkan mahu kembali ke pasaran Malaysia dengan memperkenalkan skim pelaburan baharu.

Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat permainan wang (money game) di Pulau Pinang dilaporkan berjaya merekrut hingga puluhan ribu orang dengan menjual ‘syiling virtual’

Syarikat itu malahan berjaya mengumpulkan modal untuk melabur dalam hotel dan pusat membeli-belah sekaligus menjadikan ia tarikan untuk merekrut lebih banyak ahli.

Ramai yang dilaporkan terpikat dengan money game sehingga sanggup memajak rumah untuk melabur dalam skim tersebut.

Di Internet pula, satu skim money telah menjaja nama Kumpulan Genting selain menawarkan janji bahawa pelaburan serendah AS$100 mampu membawa pulangan RM1 juta.

Kumpulan Genting menafikan terlibat dengan money game tersebut dengan menyatakan ia sebagai sejenis penipuan.

Kolumnis Kwong Wah Daily. Ye Han Rong juga menulis bahawa seorang saudaranya telah menerima pulangan lebih RM200 sebulan selepas melabur RM5,000 dalam satu money game.

Katanya, pelabur itu bagaimanapun gagal menerima sebarang bayaran selepas transaksi kelima.

“Apabila mengajukan soalan, pihak syarikat memberitahu bahawa wang telah dipindahkan tetapi belum masuk akaun.

“Fikirlah secara waras dan bijak sebelum membuat pelaburan, jangan menyesal kemudian,” katanya.