Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau kemungkinan pil khayal berbentuk Teddy Bear akan mengalir masuk ke Malaysia sehingga memudaratkan kanak-kanak yang menyangkanya sebagai makanan ringan.
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau kemungkinan pil khayal berbentuk Teddy Bear akan mengalir masuk ke Malaysia sehingga memudaratkan kanak-kanak yang menyangkanya sebagai makanan ringan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, pihaknya mengambil maklum kemunculan pil khayal tersebut tetapi menekankan bahawa dadah itu belum dikesan di Malaysia.
 
Beliau berkata, berita mengenai pil khayal berbentuk Teddy Bear adalah berasal dari United Kingdom dan PDRM  tidak menemui petanda bahawa dadah jenis itu telah muncul di negara ini.
 
Chez Chiang bagaimanapun berkata, PDRM telah mengarahkan anggota terutamanya di bawah jabatan narkotik supaya berwaspada mengenai kemungkinan kemunculan pil khayal itu.
 
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pil khayal Teddy Bear ini sila membuat laporan polis di balai berhampiran bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya kepada China Press.
 
Menurut laporan media United Kingdom, empat remaja yang termakan pil khayal berbentuk Teddy Bear telah dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan. – MalaysiaGazette