Pengurus Pemasaran SB Food Marketing, Mohd Nurul Ikhsan menunjukkan barang jualannya iaitu acar semasa tinjauan Malaysia Gazette sekitar Karnival WOW sempena sambutan ulangtahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Acar buah-buahan kering dari Ipoh, Perak menjadi tumpuan pengunjung di Ekspo Pemuda 2017 anjuran UMNO di sini hari ini.

Acar buah yang dikeluarkan oleh SB Food Marketing itu mula berada di pasaran sejak dua tahun lalu dan sesuai dihidangkan bersama nasi.

Pengusaha merangkap pengurus pemasaran, Mohd. Nurul Ikhsan berkata, keunikan acar buah itu kerana tidak menggunakan buah jeruk sebaliknya buah yang dikeringkan seperti kiwi, strawberi, betik dan mangga.

Jelas beliau, lebih menariknya rasa acar itu lebih asli kerana tidak menggunakan cuka dan gula.

“Sejak mula berniaga dua tahun lalu, permintaan daripada orang ramai untuk mendapatkan acar buah ini semakin meningkat dan saya bersyukur apabila pelanggan menyukainya.

“Saya memang mementingkan kualiti kerana telah melakukan ujian makmal sebelum acar buah dipasarkan secara komersil.

“Setakat ini, acar buah ini telah berjaya dieksport ke Brunei,” katanya.

Pengurus Pemasaran SB Food Marketing, Mohd Nurul Ikhsan bercakap semasa tinjauan Malaysia Gazette sekitar Karnival WOW sempena sambutan ulangtahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2017
Pengurus Pemasaran SB Food Marketing, Mohd Nurul Ikhsan bercakap semasa tinjauan Malaysia Gazette sekitar Karnival WOW sempena sambutan ulangtahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2017

Beliau ditemui di Ekspo Pemuda 2017 yang berlangsung di pekarangan Stadium Bukit Jalil selama dua hari bermula hari ini.

Mohd. Nurul berkata, pihaknya menyasarkan jualan 300 botol pada ekspo itu memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Tidak sampai setengah hari ekspo untuk hari pertama, kami telah berjaya menjual sebanyak 100 botol,” katanya.

Acar buah itu berharga RM8 bagi saiz botol 200 gram.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan acar buah ini boleh menghubungi talian 012-491 3739.

Sementara itu, SB Food Marketing turut menjual perencah masakan, perencah nasi beriani dan perencah serba guna. – MalaysiaGazette