Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak dalam majlis perasmian Masjid Perodua di Hulu Selangor.

HULU SELANGOR – Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan berangkat merasmikan Masjid Perodua yang merupakan masjid pertama dibina oleh syarikat korporat di daerah ini.

Masjid itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada kakitangan Perodua dan penduduk sekitar termasuk bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah dan kawasan khas untuk ibadah sembelih korban.

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, Masjid Perodua mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu-satu masa dan direka bentuk dengan fungsi dan kecekapan yang terancang.

Masjid itu akan ditadbir oleh ahli profesional yang dipengerusikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, juga disertai pegawai agama yang berkaliber untuk memastikan fungsi masjid ini diuruskan dengan cekap.

Perodua telah memperuntukkan kira-kira 8.86 ekar atau 38,850 meter persegi untuk pembinaan masjid ini dan kemudahannya digunakan oleh kakitangan Perodua serta masyarakat setempat.

Asmat berkata, Perodua telah membelanjakan sebanyak RM39 juta secara keseluruhan untuk membina masjid, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Perodua (PCDC) dan jalan raya demi manfaat kakitangan kami dan komuniti setempat.

Ia menelan belanja sebanyak RM19 juta termasuk pembinaan PCDC.

Kompleks masjid ini dibahagikan kepada empat bahagian; yang mana bangunan utama masjid berkeluasan 3,567 meter persegi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Lakaran artis Masjid Perodua di Hulu Selangor.

Lakaran artis Masjid Perodua di Hulu Selangor.

Bersebelahan masjid ialah PCDC, dengan keluasan tanah 2.7 ekar dan kompleks bangunannya seluas 2,099 meter persegi berjumlah RM9 juta.

Selain itu, Perodua turut membelanjakan RM20 juta untuk membina jalan raya bagi menghubungkan ibu pejabat dan masjid sekali gus untuk kegunaan masyarakat setempat.

Masjid Perodua memulakan pembinaan pada Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada Julai 2016. – MalaysiaGazette