Kamarul Azman Habibur Rahman

PORT DICKSON – Pengerusi Gabungan Kepimpinan Celik Minda (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman tidak nampak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mampu bertahan lama kerana sikap pemimpinnya sendiri.

Menurutnya, amalan kronisme yang menjadi punca beliau keluar PPBM sepatutnya tidak disangkal oleh pemimpin parti yang baru ‘setahun jagung’ itu.

“Setelah saya masuk dalam parti ini, yang mana saya antara pengasas parti, yang baru berada di peringkat permulaan, sudah timbul perkara yang tidak betul dan tidak boleh diketengahkan sedangkan ia sepatutnya menjadi satu gerakan yang membawa perubahan namun bentuk perubahan yang berlaku bukanlah yang kita mahukan.

“Soal kronisme ini, pemimpin PPBM jangan sangkal ia nampak nyata,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Kamarul Azman yang lebih dikenali sebagai Cikgu Kamarul, PPBM tidak akan berjaya sekiranya pemimpinnya mementingkan kepentingan peribadi daripada perjuangkan rakyat.

“Saya sanggup menanggung risiko ini kerasan saya sayangkan negara..seseorang perlu bercakap benda yang betul.

“Banyak perkara yang saya tahu tapi tak boleh dedahkan kerana hormat kepada pemimpin-pemimpin yang ada (dalam PPBM),” katanya.

Menurutnya, selepas beliau membuat sidang media keluar parti, ramai pemimpin PPBM mengkritiknya berbanding mahu memperbetulkan ‘penyelewengan’ dalam parti.

“Selepas sidang media lepas, kami diserang bertalu-talu apabila ada bersuara tak kena dengan parti,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Cikgu Kamarul menegaskan, GKCM tidak ada hasrat menubuhkan parti politik baharu namun akan meneruskan mesej berani kerana benar dalam perjuangannya.- MalaysiaGazette