Pengadil tidak membenarkan gol Riyad Mahrez kerana menyentuh bola dua kali berturut-turut.

MANCHESTER – Mereka kembali dengan persembahan baik. Kemenangan dan timbunan gol.

Arsene Wenger yang menjadi sasaran kata-kata kesat pada kebanyakan masa dalam musim ini, disambut dengan tepukan gemuruh apabila beliau berjalan ke arah penyokong pasukannya.

Semuanya kelihatan baik untuk Arsenal ketika pasukan itu menguasai permaianan pada penhujung musim bagi mengisi slot kelayakan LIga Juara-Juara kuota Liga Perdana Inggeris (EPL).

Persoalannya, adakah mereka terlalu lewat untuk melakukannya?

Arsenal mempamerkan antara prestasi terbaiknya pada musim ini dengan menumpaskan Stoke 4-1 semalam bagi membolehkan pasukan itu berada satu mata di belakang pasukan yang menghuni di tangga keempat liga, dengan berbaki dua perlawanan.

Jika pasukan yang berada pada kedudukan keempat, Liverpool gagal menewaskan West Ham pada perlawanan di tempat lawan hari ini, Arsenal sedar kemenangan ke atas Sunderland dan Everton pada Selasa dan hari terakhir EPL akan membolehkannya layak ke Liga Juara-Juara untuk kali ke-20 berturut-turut.

Perkara sebaliknya berlaku sebulan lalu, apabila Arsenal tewas 0-3 di tangan Crystal Palace dan masa depan Wenger bersama pasukan bimbingannya dilihat malap yang mana beliau menerima kritikan keras daripada penyokong kelab itu.

Semalam, ketika beliau berjalan di tepi garisan menuju ke bilik persalinan selepas wisel penamat dibunyikan, Wenger melambaikan tangan ke arah penyokong Arsenal dan mereka bersorak sebagai tanda menyokong pengurus itu.

“Ketika ini, kami konsisten. Mari lakukannya dengan baik sehingga tamat,” kata Wenger.

Tekanan ke atas Liveerpool terus meningkat, lebih-lebih lagi dengan kemenangan Manchester City 2-1 ke atas Leicester, dengan City kini naik ke tangga ketiga, di atas The Reds.

City mengumpul 72 mata, Liverpool 70 mata dan Arsenal 69 mata. Manchester United yang menghuni di tangga keenam mengumpul 65 mata dengan kekurangan satu perlawanan.

STOKE 1, ARSENAL 4

Olivier Giroud menyumbat gol pada jarak dekat manakala Alexis Sanchez menjaringkan gol EPL ke-50nya bersama Arsenal yang mencatatkan lima kemenangan daripada enam perlawanan.

Mesut Ozil juga menjaringkan gol dalam perlawanan malam semalam.

Stoke cuba bangkit menerusi pemain gantian, Peter Crouch pada minit ke-67 bagi merapatkan jurang 1-2. Ulang tayang menunjukkan bola terkena tangan pemain itu tetapi kesalahan tersebut tidak dikesan pegawai perlawanan.

MANCHESTER CITY 2, LEICESTER 1

City mendapat dua peluang dalam kemenangannya ke atas bekas juara EPL.

Gol pertama menerusi David Silva sepatutnya tidak dikira kerana Raheem Sterling berada dalam keadaan offside, berada melepasi penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel ketika Silva merembat bola ke gawang gol.

Gabriel Jesus menambah jaringan bagi membolehkan City mendahului 2-0 menerusi sepakan penalti, dan Shinji Okazaki mengurangkan jurang gol dengan sepakan volley akrobatik.

Leicester dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76 apabila Riyad Mahrez dikasari. Mahrez yang mengambil sepakan itu tergelincir ketika melakukan sepakan, dan bola terkena kakinya yang satu lagi sebelum menggegarkan jaring lawan untuk kali kedua.

Bagaimanapun, pengadil tidak membenarkan gol tersebut dan memberi tendangan percuma kepada City dengan menunjukkan dua jari sebagai isyarat Mahrez menyentuh bola dua kali berturut-turut.

“Pengadil ini sungguh berani dalam membuat keputusan. Saya telah melihat keadaan yang sama sebelum ini, satu masa dahulu” kata pengurus City, Pep Guardiola.

Keputusan perlawanan:

Sunderland 0, Swansea 2

Bournemouth2, Burnley 1

Middlesbrough 1, Southampton 2 – BBC