TOKYO – Hidangan ramen yang dicampur dengan cengkerik dan ulat goreng menjadi kegemaran baru masyarakat di Jepun yang dianggap menyelerakan.

Tidak kisah walaupun terpaksa beratur panjang, pencinta makanan di negara matahari terbit itu
merasakan campuran serangga tersebut menjadikan hidangan ramen lebih enak daripada kebiasaan.

Menerusi satu acara, sebuah restoran ramen berjaya menjual 100 mangkuk ‘tsukemen serangga’ kepada penggemarnya hanya dalam tempoh empat jam sahaja.

Setiap pinggan ramen yang dihidangkan kepada pelanggan dimasukkan kira-kira sedozen cengkerik dan ulat di mana pelanggan akan mencelupnya di dalam sup yang turut disertakan belalang atau ulat sutera.

Hidangan itu dijual dengan harga 3,000 yen (RM120) iaitu ramen serangga bagi satu set, semangkuk nasi dengan cengkerik, popia cacing goreng dan ais krim yang berperisa serangga manakala harga bagi semangkuk ramen ialah 1,500 yen (RM 60). – MalaysiaGazette