Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaluddin dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua'ammar Ghadafi Jamal Jamaludin ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017, Hotel Marriot, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MEI 2017

PUTRAJAYA –  Rakyat hari ini sudah cukup terpelajar untuk mengenal umpan pembangkang semata-mata demi meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bahangnya semakin terasa kini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat juga boleh menilai niat sebenar pembangkang yang hanya pandai berkokok namun gagal mengotakan janji dalam mana-mana manifesto pilihan raya sebelum ini.

“Kalau pembangkang kata nak jana sejuta pekerjaan bila berkuasa nanti, mereka kena perincikan dalam bidang apa, melalui pelaburan apa, dan peruntukan mana,” katanya kepada media hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ditanya kenyataan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Pakatan Harapan (PH) merancang mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh lima tahun jika gabungan itu berjaya mengambil alih kerajaan pada PRU14.

Malah gabungan itu juga bercadang mengurangkan jumlah pekerja asing sah daripada 3.3 juta orang yang direkodkan tahun lalu kepada 2.5 juta orang dan berjanji akan menyediakan lebih banyak kerja kepada penduduk tempatan.

Mengulas mengenai itu, Khairy berkata segala janji boleh ditabur oleh pembangkang bagi merealisasikan impian mereka ke Putrajaya.

“Apa sahaja janji mesti ada perancangan. Macam BN kita ada perancangan dari segi ETP, Transformasi Nasional dan sebagainya. Ini semua akan menjana pekerjaan dan rakyat boleh melihat bahawa ini boleh menjana pekerjaan kepada mereka,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.