Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi pilihan Nelo Vingada kerana gaya kejurulatihan yang serius dan sikap tegas dimiliki pengendali dari Portugal itu.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan faktor itu ketika mengumumkan pelantikan Vingada sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook badan induk itu.

Jelas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), dua faktor itu dilihat menjadikan pengendali berusia 64 tahun itu sebagai pilihan terbaik untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

“Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami.

“Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

“Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan – dalam pasukan belia dan skuad utama – dan beberapa kelab yang sudah beliau latih menunjukkan pengalaman yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada dan kami berharap boleh bekerja bersama Vingada, dan harapnya, menemui kejayaan baru,” titah Tunku Ismail.

Malah, Tunku Ismail mengakui keputusan itu dibuat selepas melihat dan menilai banyak jurulatih asing mahupun tempatan.

“Selepas melihat banyak jurulatih tempatan dan juga luar, melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan bahawa Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan,” katanya.

Sebagai rekod, antara pencapaian terbesar Vingada adalah mengemudi Portugal menjuarai Piala Dunia Bawah-20 tahun bagi edisi 1989 dan 1991 sewaktu bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Carlos Queiroz.

Selain itu, dia juga pernah menjulang Arab Saudi muncul juara Piala Asia 1996.

Kariernya sebagai jurulatih di peringkat kelab juga tidak kurang hebatnya apabila membantu kelab Zamalek SC meraih gelaran hatrik pada 2003 dalam saingan Liga Premier Mesir, selain Piala Super CAF dan Kejuaraan Kelab Arab. – MalaysiaGazette