Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifudin Nasution (kanan) bersama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (kiri) menunjukan logo Kongres Keadilan ke 12 yang akan berlangsung 21 hingga 22 Mei 2017 pada sidang media di Ibupejabat PKR, Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 15 MEI 2017

PETALING JAYA – Walaupun sudah ‘bercerai’ selepas tiada lagi hubungan tahaluf siyasi, PKR masih lagi menaruh harapan agar Pas dapat hadir ke Kongres Nasional Ke-12 mereka yang akan berlangsung pada 21 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat jemputan sudah dihantar kepada Pas awal-awal lagi sebelum berlangsung muktamar parti Islam itu baru-baru ini di Kedah.

“Pada masa kita merangka persiapan kongres keputusan Majlis Syura Pas belum berlaku. Jadi saya telah menghantar jemputan melalui kurier (kepada Pas),” katanya mengesahkan surat jemputan kepada Pas semasa sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Kenyataan Saifuddin itu merujuk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak Pas yang menerima usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang dibawa dalam Muktamar Pas ke-63 lalu.

Walaupun secara rasminya berakhir hubungan PKR dengan Pas, Saifuddin berkata, setiap hari beliau menanti-nanti jawapan balas dari Pas terhadap jemputan mereka dengan sentiasa membuat semakan sekiranya ada jawapan balas daripada mereka.

“Semakan saya sehingga pagi tadi, kita belum dapat pengesahan (Pas) hadir. Kita masih semak dan belum ada jawapan,” kata Saifudin yang masih mengharapkan Pas untuk hadir ke kongres nanti.

Hubungan PKR dan Pas sudah berakhir apabila Majlis Syura Ulama Pas Pada 11 Mei lalu sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta-merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.

Antaranya, PKR didakwa telah mengkhianati hubungannya dengan Pas kerana bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Terdahulu, semasa sidang media sama Saifuddin mengumumkan PKR akan mengadakan Kongres Nasional ke-12 pada 21 Mei nanti yang akan memberi fokus kepada persediaan dan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. – MalaysiaGgazette