Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (empat kanan) bergambar kenangan logo baru IKATAN pada Majlis Perasmian Seminar Pembangunan Komuniti Strata Bandar Raya Kuala Lumpur 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Penghuni-penghuni komuniti strata digesa supaya mengubah mentaliti menjadi kelas pertama dalam aspek penjagaan kebersihan.

Ini kerana, persekitaran yang sentiasa terurus dan terpelihara akan mewujudkan suasana kehidupan bandar yang ceria, sejahtera dan harmoni, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Kerajaan telahpun melaksanakan undang-undang dan peraturan baru untuk menguatkuasakan gaya hidup di komuniti strata.

“Sekiranya komuniti strata diurus dengan baik secara profesional, saya yakin ia akan menyumbang kepada satu kualiti hidup yang baik dan akhirnya mewujudkan sebuah bandar sejahtera dengan suasana hidup yang ceria dan harmoni walaupun berbilang bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Seminar Pembangunan Komuniti Strata Bandar Raya Kuala Lumpur 2017 di sini hari ini.

Turut berlangsung pada majlis itu perasmian logo baharu Ikatan Pegawai Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Ikatan). – MalaysiaGazette