Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memeriksa dokumen pekerja asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah akta imigresen 1959/63 pada Operasi Jabatan Imigresen di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Berbaki tidak sampai sebulan sahaja lagi namun sasaran jumlah pendaftaran pekerja asing tanpa izin (PATI) di bawah program Enforcement Card (E-Kad) oleh majikan di negara ini masih lagi jauh untuk dicapai.

Ini kerana jumlah yang didaftarkan hanya 85,000 orang setakat ini berbanding sasaran 600,000 pekerja, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurutnya, pihaknya kini bukan lagi dalam peringkat amaran kepada majikan yang masih berdegil sebaliknya akan bertindak tegas termasuk membekukan aset mereka apabila tempoh pendaftaran tamat 30 Jun ini.

“Sehingga 30 Jun, kita sasar 400,000 hingga 600,000 orang pekerja yang didaftarkan tetapi sehingga sekarang ini kita ada tempoh sebulan ini baru ada 85,000 lebih.

“Ini bukan lagi di peringkat amaran malah lebih kepada tindakan tegas akan dilakukan oleh imigresen kepada majikan yang masih tidak mendaftarkan pekerja mereka di bawah program E-Kad.

“Pembekuan aset dan akaun mereka akan dilakukan jika masih berdegil dan menggaji PATI,” kata Mustafar selepas operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua pusat membeli belah Plaza Low Yat dan Plaza Imbi di ibu negara hari ini.

Dalam operasi berkenaan seramai 260 individu diperiksa dan 125 orang daripadanya adalah PATI yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (27) diikuti Nepal (27), Bangladesh (20) dan lain-lain warganegara (41) orang.

Kesemua mereka adalah PATI berumur lingkungan 25 hingga 40 tahun dengan 105 adalah lelaki dan 10 perempuan yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka akan di bawa ke Ibu Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut dan seterusnya ke depoh tahanan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan, Mustafar sekali lagi menekankan supaya majikan mengambil peluang baki tempoh yang tinggal untuk mendaftarkan pekerja PATI mereka secara sah.

“Kita akan buat pengawasan berterusan dan mahu memberi mesej ini disampaikan kepada majikan dan pekerja dimana peluang telah diberikan, pendidikan telah dibuat malah saranan dibuat secara meluas. Tarikh 30 Jun tidak akan disambung,” tegasnya. – MalaysiaGazette